Putrajaya sepatutnya mampu mengurus kejutan harga minyak global dengan lebih baik sekiranya sistem subsidi bersasar dilaksanakan lebih awal berasaskan Pangkalan Data Utama (Padu), kata bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.
Menurut ahli parlimen Pandan itu, kerajaan bersetuju pada 2023 untuk mengapungkan harga minyak dan melaksanakan subsidi secara pindahan tunai, yang akan memastikan ia hanya dinikmati oleh kumpulan dengan pendapatan yang layak mendapat subsidi.
Pun begitu, Rafizi mendakwa pertimbangan politik telah menghalang rancangan Padu itu.
“Saya rasalah kalau kerajaan laksanakan Padu pada 2024 dan (berdasarkan) apa yang dipersetujui pada 2023, kita takkan bergaduh pasal nilah (harga minyak).

"Kerana rakyat sebenarnya sudah menyesuaikan diri dalam tempoh tiga tahun lalu dari segi penggunaan petrol mereka, dan sudah biasa dengan sistem keselamatan sosial serta bantuan pindahan tunai,” katanya pada siaran podcastnya yang turut menampilkan Malaysiakini semalam.
Menurut Rafizi, pimpinan di Putrajaya bimbang akan reaksi rakyat sekiranya harga petrol diapungkan mengikut kadar pasaran global.
Pelan awal untuk menyalurkan bantuan tunai bersasar berdasarkan pangkalan data Padu sepatutnya bermula seawal Mac 2024 namun Rafizi berkata ia ditangguhkan kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim didakwa bimbang langkah tersebut akan menyebabkan kerajaan tidak popular.
Rafizi berkata demikian walaupun dia telah memberi peringatan kepada kabinet bahawa kerajaan tetap perlu menaikkan harga apabila berlaku kejutan harga minyak global.

"Dan pada masa itu, tidak kira berapa puluh bilion sudah kamu berikan dalam bentuk sumbangan tunai atau kamu belanjakan untuk subsidi pukal, apabila kamu menaikkan harga, orang tetap akan kata kamu yang naikkan harga.
"Jadi lebih baik lakukan pada tahun pertama menjadi kerajaan supaya dalam tempoh satu atau dua tahun, orang mula menghargai bantuan tunai bulanan yang mereka terima,” katanya.
Mengkritik Putrajaya kerana berundur daripada pelan untuk mengapungkan harga petrol, dia berkata krisis minyak global akan menyebabkan bajet tahunan negara menjadi “pecah”.
Rafizi berkata kerajaan telah memperuntukkan RM12 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini namun kenaikan mendadak harga minyak mentah kini akan memaksa kerajaan membelanjakan kira-kira RM7 bilion setiap bulan.

Peningkatan perbelanjaan itu, dakwanya malah boleh menyebabkan kerajaan menghadapi kesukaran untuk membayar Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang menelan kos RM15 bilion tahun ini.
"Jadi bajet sudah ‘pecah gila-gila (teruk). Saya tidak terkejut jika pada sidang parlimen akan datang dia (Anwar) perlu membentangkan bajet tambahan,” kata Rafizi.
Padu ialah sistem pangkalan data berpusat yang diperkenalkan kerajaan Malaysia pada Januari 2024, yang mengintegrasikan data sosioekonomi individu dan isi rumah di seluruh negara.
Ia dibangunkan untuk menyokong dasar subsidi bersasar dengan membolehkan kerajaan mengenal pasti penerima yang layak dengan lebih tepat serta mengurangkan ketirisan, termasuk yang berkait dengan penyeludupan dan penyalahgunaan barangan bersubsidi.

Walaupun terdapat rancangan awal untuk menggunakan data Padu bagi subsidi bahan api bersasar namun Putrajaya kemudiannya menggunakan mekanisme lain.
Subsidi diesel kini diurus melalui sistem permohonan yang dikendalikan Kementerian Kewangan dikenali sebagai Budi Individu manakala subsidi petrol RON95 kekal diberikan secara meluas di bawah program Budi95, dengan kelayakan berdasarkan pemilikan kenderaan dan data Kementerian Pengangkutan, bukan Padu.
Dalam hal ini, Rafizi berkata keputusan tersebut kini menyukarkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan tambahan kepada mereka yang terkesan akibat kenaikan harga minyak.
Menurut bekas timbalan presiden PKR itu, Putrajaya kini sepatutnya mempunyai beberapa pilihan sekiranya bantuan tunai dilaksanakan berdasarkan data pendapatan individu dan isi rumah dalam Padu.

“Apa yang kerajaan boleh lakukan sekarang, khususnya jika harga diesel meningkat terlalu tinggi, ialah sama ada menambah jumlah bantuan tunai atau meluaskan bantuan kepada mereka yang sebelum ini tidak layak.
"Contohnya, jika sebelum ini hanya mereka yang mempunyai pendapatan boleh belanja RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan tunai, ia boleh diperluaskan sehingga mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah juga layak menerimanya.
“Atau kerajaan boleh menambah sedikit subsidi bagi menurunkan harga (diesel) itu sedikit, daripada RM6 kepada sekitar RM5.50 (seliter)," katanya.
Bagaimanapun, Rafizi berkata RM27 juta yang telah dibelanjakan kerajaan untuk membangunkan Padu tidak sia-sia walaupun ia tidak digunakan untuk pengagihan subsidi bersasar.
Dia berkata kerajaan bersetuju membangunkan sistem tersebut sebagai pangkalan data belakang universal yang membolehkan ia digunakan oleh kementerian dan agensi lain.
Menurut ahli parlimen itu, langkah tersebut membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan bagi pembangunan laman web dan sistem pada masa hadapan, apabila tidak lagi perlu membangunkan pangkalan data yang sama.
[Baca berita asal]
