PAS Pahang menasihati Perdana Menteri supaya tidak mudah “koyak” dan melenting apabila menerima kritikan daripada rakyat, kata timbalan pesuruhjayanya, Andansura Rabu.
Menurutnya, tindakan Anwar Ibrahim menyifatkan pihak yang menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga bahan api ketika ini sebagai 'kurang cerdik' menunjukkan pemimpin nombor satu negara itu sebagai mudah tersinggung.
"Ini perkara biasalah, dia pun pernah buat benda sama dulu. Kita nak sebut balik kang dia kata kita ungkit cerita lama.
"Bila mereka jadi pembangkang dulu, boleh pula cakap apa saja kepada kerajaan (ketika itu), kenapa bila kena kat dia melenting dan mula menghina rakyat.
"Pada saya, kerajaan sebenarnya sedang menghina rakyat apabila bercakap begitu," katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri PAS dan Perikatan Nasional Indera Mahkota, di Seberang Balok, dekat Kuantan, Pahang, hari ini.
Andansura yang juga Adun Beserah mengulas demikian ketika ditanya berkaitan isi ucapan Anwar pada program Anak Muda Madani Pahang yang berlangsung semalam di Kuantan.
Perdana Menteri dalam ucapannya pada program itu berkata, pihak yang menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga runcit bahan api sebagai 'orang yang kurang cerdik'.

Dia juga menggambarkan kumpulan itu sebagai mereka yang tidak ambil tahu perkembangan dunia.
'Dulu mereka kata kita gagal'
Andansura turut meminta kerajaan menjelaskan langkah yang diambil bagi menyerap tekanan harga bahan api susulan krisis membabitkan Iran dan AS serta Israel.
Dia memberikan contoh ketika pandemik Covid-19, kerajaan ketika itu melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memastikan rakyat dapat meneruskan hidup sebaik mungkin.
"Ketika krisis Covid-19, satu dunia berdepan masalah dan ini melibatkan nyawa, lebih hebat berbanding krisis dihadapi ketika ini.
"Dan kerajaan semasa itu mengambil pelbagai langkah bagi memastikan mereka yang tidak dapat keluar bekerja tetap menerima gaji, perniagaan dapat bangkit semula dan paling penting makanan kekal tersedia atas meja setiap rumah.
"Itu pun mereka kata kita kerajaan gagal, nak minta parlimen dibuka, nak bahas padahal pada masa itu keadaan tidak mengizinkan kita berkumpul atau berhimpun," jelasnya.
Dari mana modal Madani Mart?
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai pelancaran kedai runcit harga rahmah dikenali sebagai Madani Mart, Andansura mempersoalkan dari mana Yayasan Madani mendapat modal bagi membuka cawangan pertama kedai berkenaan.

"Yayasan Madani ini ambil duit dari mana? Dia kata Madani Mart tidak menggunakan duit kerajaan, jadi dari mana duit itu datang.
"Saya pun tak boleh nak komen banyak sebab model perniagaannya bagaimana. Adakah ia membabitkan (sumber kewangan) dari syarikat korporat atau kerajaan, dia kena jelaslah baru rakyat tak bandingkan dengan yang sebelum ini (Kedai Rakyat 1Malaysia).
"Dulu dia pun kritik (Krim) dan sekarang dia buat benda sama, jadi rakyat akan buat perbandingan. Apa saja yang baik untuk rakyat, mesti rakyat akan sokong," tambahnya.
Mengenai struktur organisasi Yayasan Madani yang membabitkan pimpinan yang rapat dengan kerajaan, Andansura menganggap perkara itu boleh menimbulkan konflik kepentingan.
"Saya fikir ia boleh menjadi satu kesalahan... salah guna ruang, nak kata salah guna kuasa, saya tak beranilah, tapi ia akan menimbulkan konflik kerana individu berkenaan ada jawatan dalam kerajaan hari ini," katanya.
