Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah menjalankan audit serta siasatan segera terhadap syarikat pengendali treler yang mengakibatkan nahas hingga meragut tiga nyawa di Segamat, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan tegas perlu diambil termasuk memastikan syarikat terbabit dipertanggungjawabkan atas kegagalan memantau disiplin pemandu mereka yang turut didapati positif dadah methamphetamine.
“Saya berharap pihak polis menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin dan pemandu tersebut dihadapkan ke mahkamah dengan segera.
“Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengarahkan pendakwaan tegas yang setimpal dengan kesalahan pemandu tersebut,” katanya menerusi hantaran Facebook selepas menziarahi keluarga mangsa di Hospital Segamat di Johor tengah hari tadi.
Loke berkata setakat ini, dua mangsa masih menerima rawatan dengan seorang kritikal dan ditempatkan di wad unit rawatan rapi.
Beliau berkata kejadian itu merupakan satu lagi kes kemalangan yang amat menyedihkan yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata kerajaan menyedari bahawa sebahagian besar pemandu lori bersikap profesional dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh disiplin, namun masih terdapat segelintir yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan semua pemandu agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, Loke berjumpa dengan ibu bapa dua mangsa terlibat dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu kos rawatan dan meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa.
Dalam kejadian pada 3.45 petang Khamis, tiga termasuk sepasang suami isteri maut manakala dua cedera selepas sebuah treler melanggar bahagian belakang van dinaiki mangsa di persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu.
Susulan kejadian itu, pemandu treler berusia 28 tahun direman empat hari bermula semalam.
- Bernama
