WAWANCARA | Apabila aktivis Fadiah Nadwa Fikri dihalang masuk ke Singapura baru-baru ini, ia mencetuskan kembali persoalan lama tentang perbezaan pendapat dan batas ucapan yang boleh diterima di republik itu.
Namun, bagi tokoh buangan politik Singapura, Tan Wah Piow, 78, episod itu bukan sesuatu yang mengejutkan.
Pada 22 Mac, Fadiah menulis di X, mendakwa dia telah diusir dan diharamkan daripada memasuki semula negara itu. Dia kemudian digambarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura sebagai “pelawat yang tidak diingini”.
Kementerian itu menyatakan aktivis tersebut telah mempromosikan “kaedah protes sivil yang menyalahi undang-undang, ganas dan mengganggu” serta menggalakkan belia di Singapura untuk mengikut apa yang digambarkan sebagai “jenama advokasi radikalnya.”

Fadiah bukan asing dengan republik pulau itu. Dia kerap berulang-alik ke Singapura, pernah belajar di National University of Singapore (NUS) dan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada Januari tahun ini.
Dia juga dianugerahkan biasiswa pengajaran di Kolej Kemanusiaan dan Sains universiti tersebut.
Sebagai maklum balas terhadap tuduhan kerajaan Singapura, Fadiah menyifatkan tindakan itu sebagai “seolah-olah satu serangan yang disengajakan” terhadap kerja akademiknya, khususnya penyelidikannya mengenai “sejarah intelektual dekolonisasi dan antipenjajahan.”
Mengulas insiden itu, Tan berkata pendekatan Singapura terhadap perbezaan pendapat kekal tidak berubah, walaupun sudah lima dekad berlalu sejak dia sendiri dibuang dari negara itu.

“(Apabila saya dengar isu ini) saya kata, sama sahaja, tiada beza,” katanya kepada Malaysiakini mengenai pengusiran Fadiah.
Tan bekas pemimpin mahasiwa dari Singapura yang disabitkan dengan kesalahan perhimpunan haram dan rusuhan pada 1974, lalu dipenjarakan selama lapan bulan.
Selepas dibebaskan, dia melarikan diri ke United Kingdom dan memohon suaka politik. Dia hidup dalam buangan sejak 1976.
Namun, pada pertengahan 1980an, kerajaan pimpinan parti People's Action Party (PAP) yang diterajui Lee Kuan Yew selaku perdana menteri ketika itu melancarkan Operation Spectrum, yang juga dikenali sebagai “Konspirasi Marxis”.

Kerajaan mendakwa plot itu mempunyai kaitan dengan Tan dan menuduhnya sebagai “dalang utama” dalam usaha menjadikan Singapura sebuah negara komunis.
Operasi itu menyaksikan 22 aktivis ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura.
Mengimbas persamaan antara perkembangan dahulu dan kini, Tan melihat kesinambungan jelas antara pengalamannya sendiri dan keadaan semasa.
Menurutnya, walaupun Singapura telah maju dari segi material, pendekatannya terhadap perbezaan pendapat kekal hambar.
‘Kemiskinan falsafah’
“Terdapat peningkatan dari segi kemajuan peralatan. Tetapi perisiannya tidak berubah,” katanya, merujuk kepada ketegangan antara kemajuan yang kelihatan dan budaya politik yang terus membentuk cara idea dikawal.
Untuk memahami ketegangan ini, Tan beralih kepada falsafah dalam bukunya yang terbaru, “A Dialogue Across Civilisations”.
Buku itu, katanya, lahir daripada apa yang dilihatnya sebagai “kemiskinan falsafah dan teori” yang lebih luas, khususnya dalam perbincangan politik selepas 2018 yang ditandai peralihan kuasa di Singapura.

Walaupun tempoh itu digerakkan oleh penentangan kuat terhadap tokoh dan isu tertentu, Tan berpendapat momentum itu tidak diterjemahkan kepada penglibatan intelektual yang lebih mendalam.
“Saya sejak awal lagi membina sebab mengapa saya mengambil pendirian tertentu, memahami politik, memahami demokrasi, memahami kerangka saya sendiri tentang bagaimana masyarakat sepatutnya dibentuk.
“Tetapi saya dapati perkara ini kurang, bahkan dalam kalangan aktivis. Tiada ketahanan intelektual.
“Kerana demokrasi tidak boleh digerakkan hanya oleh kebencian terhadap sesuatu pihak, rakyat perlu ada pemahaman yang lebih mendalam tentang mengapa mereka menentang sesuatu itu sejak awal,” katanya.

Buku terbaru Tan ini berbeza daripada karya autobiografinya sebelum ini, Let the People Judge: Confessions of the Most Wanted Person in Singapore (1987) dan Smokescreens & Mirrors: Tracing The ‘Marxist Conspiracy’ (2012).
Kali ini, Tan menggunakan format dialog dengan menghimpunkan tokoh pemikir seperti Confucius, Socrates dan Karl Marx dalam perbualan yang dibayangkan.
Daripada membentangkan idea mereka secara terpisah, dia membiarkan mereka saling menyoal dan mencabar antara satu sama lain, memperlihatkan perbezaan antara pelbagai aliran pemikiran — satu pendekatan yang menurutnya bertujuan menghidupkan semula pertukaran intelektual sebenar.
“Sebab (saya menulis buku ini begini) ialah saya mahu memperkenalkan pelbagai falsafah ini. Tetapi orang selalunya hanya membeli buku falsafah untuk pemula, Karl Marx untuk pemula, atau Socrates untuk pemula.

“Sebagai pembaca, anda tidak dapat mengaitkan bagaimana tokoh-tokoh ini mentafsir pemikiran mereka dalam dunia sebenar dan bagaimana satu berbeza daripada yang lain.
“Dalam bentuk ini, saya boleh letakkan mereka bersama dalam pelbagai situasi, saling menyoal idea masing-masing,” katanya.
Tan berkata sepanjang buku itu, tiada watak yang dipaksa mengalah atau berkompromi. Setiap satu kekal berpegang pada pandangan dunia masing-masing walaupun berdepan perspektif bertentangan.
Dengan membiarkan pemikir berdebat secara langsung, katanya, ia mencerminkan realiti pencarian intelektual, dengan perbezaan pandangan bukan sahaja tidak dapat dielakkan malah diperlukan.
Batas dialog
Pendekatan ini juga mengelakkan Tan daripada memaksakan kesimpulannya sendiri dalam naratif, sebaliknya menggalakkan pembaca berinteraksi dengan hujah-hujah tersebut.
Namun, menurutnya, pertukaran terbuka seperti ini yang sebenarnya terhad dalam dunia sebenar.
Melihat kepada Singapura hari ini, Tan berpendapat dialog seperti itu hampir tidak wujud dalam praktik, dengan wacana dikawal rapi dan idea tertentu diketepikan.

Akibatnya, kata Tan wacana berlaku dalam batas yang ditentukan, bukannya ruang yang membenarkan idea bertembung dan berkembang sepenuhnya.
“Ambil contoh apa yang berlaku kepada Fadiah. Mengapa sebuah negara sekuat Singapura perlu bimbang tentang seorang individu yang mempunyai idea?
“Jika ideanya salah, masyarakat akan menolaknya. Dan dia tidak akan menjadi ancaman kepada apa-apa," katanya lagi
Bagi Tan, episod ini mengukuhkan corak yang telah diperhatikannya selama beberapa dekad, sejak pengalamannya sendiri dengan pihak berkuasa Singapura.
Minat generasi muda
Dia turut mempersoalkan kesepadanan tindakan yang diambil terhadap aktivis itu, dengan menyatakan isu tersebut melangkaui individu semata-mata.
Dalam konteks itu, Tan berpendapat masalah sebenar bukan sekadar perbezaan politik, tetapi ruang yang tersedia untuk perdebatan.
Walaupun begitu, Tan menegaskan penyelesaian jangka panjang terletak pada pembinaan budaya bertanya, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Satu-satunya cara ialah menarik minat generasi muda. Kita perlu mengubah budaya ini dengan kembali kepada Socrates, dengan belajar mengemukakan soalan yang betul dan mencari kebenaran melalui pertanyaan,” katanya.
Bagi Tan, prinsip mempersoalkan kekuasaan dan menilai idea secara kritikal telah membentuk pandangan politiknya serta bukunya yang terbaru.
Dia berharap penulisannya dapat mendorong pembaca merenung asas politik, demokrasi dan kuasa.
Akhirnya, dia percaya dialog yang bermakna, sama ada dalam falsafah atau masyarakat, bergantung pada kesediaan untuk berdepan dengan soalan sukar, bukannya mengelakkannya.
