mk-logo
Berita
Pemegang lesen Madani Mart akan bayar royalti pada yayasan diasaskan Fuziah, pembantu Anwar
Diterbitkan:  Apr 5, 2026 11:08 AM
Dikemaskini: 5:04 AM
1

Skim pelesenan Madani Mart akan memerlukan pihak yang berminat membuka cawangan membayar yuran lesen dan royalti kepada Yayasan Madani — sebuah yayasan yang mempunyai hubungan rapat dengan koridor kuasa.

Yayasan itu diasaskan bersama oleh pemimpin PKR; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh — yang juga pengerusinya — bersama pembantu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Kamil Abdul Munim dan Ahmad Farhan Fauzi. Ketiga-tiga mereka merupakan satu-satunya pemegang amanah yang disenaraikan bagi yayasan tersebut.

Menurut dokumen Soalan Lazim (FAQ) yang dikeluarkan yayasan itu, yuran lesen dan royalti merupakan balasan bagi latihan, sokongan, pemantauan prestasi, pengurusan sistem, serta pembangunan rantaian bekalan yang disediakan oleh Yayasan Madani kepada pemegang lesen Madani Mart.

Pun begitu, jumlah bayaran yuran lesen dan royalti tidak didedahkan.

Gambar fai, Kamil Abdul Munim.

Penyata kewangan Yayasan Madani juga belum didedahkan kepada umum setakat ini. Yayasan itu ditubuhkan pada Mac 2024.

Ketika dihubungi, Kamil yang juga ketua Pemuda PKR (AMK) memberitahu Malaysiakini bahawa yayasan tersebut akan mengeluarkan kenyataan bagi menjawab persoalan berkaitan yuran lesen dan royalti, serta isu-isu berkaitan.

Malaysiakini turut menghubungi Fuziah untuk mendapatkan komen.

Madani Mart menyasarkan penubuhan rangkaian 640 kedai di seluruh negara yang menjual barangan pada harga “rahmah”. Cawangan pertama yang dilancarkan oleh Anwar pada Jumaat lalu terletak di Kuantan — bekas kawasan parlimen Fuziah.

Fuziah (gambar atas) memberi jaminan tiada dana kerajaan akan digunakan dalam Madani Mart.

Namun, ia melibatkan “kerjasama strategik” antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pemegang lesen serta Yayasan Madani. Yayasan itu menyatakan rangkaian kedai berkenaan juga bertujuan menyokong inisiatif awam termasuk program Jualan Rahmah kerajaan.

Sementara itu, FAQ hari ini menyatakan pemegang lesen perlu menyediakan 100 peratus modal bagi menubuhkan sesebuah cawangan.

Yayasan Madani akan menetapkan 50 peratus inventori yang wajib dibekalkan di semua cawangan Madani Mart bagi memastikan keseragaman barangan kepada pengguna.

Ahmad Farhan Fauzi, salah seorang pengasas Yayasan Madani.

Barangan wajib itu akan diperoleh daripada pusat pengedaran, yang menurut yayasan akan membantu mengekalkan harga stabil dan berpatutan.

Di laman web Madani Mart, senarai barangan wajib termasuk beras, minyak masak, tepung, gula, mi segera, kopi 3-dalam-1, roti, makanan dalam tin, telur, air minuman botol dan minuman ringan, nuget sejuk beku, sosej dan kentang goreng, syampu, sabun, ubat gigi serta bahan pencuci pakaian dan pinggan-mangkuk.

Pengendali dibenarkan memilih pembekal sendiri bagi barangan lain.

Semalam, pemimpin PKR Rafizi Ramli melontarkan pandangan berbeza — apabila dengan lantang menyelar Fuziah — membangkitkan kebimbangan mengenai Madani Mart kerana membabitkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang turut bertanggungjawab terhadap program Jualan Rahmah.

"Jualan Rahmah ini melibatkan peruntukan beratus-ratus juta ringgit setahun, pembekal-pembekal berebut-rebut untuk menjadi pembekal untuk Jualan Rahmah kerana bila dia jual kepada kerajaan, dia dapat harga biasa, mungkin harga yang lebih tinggi pun.

“Tapi bila dijual kepada orang ramai tu, setiap satu kilogram (misalnya) itu kemudian diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Jadi bila Madani Mart ini diusahakan oleh timbalan menteri KPDN (Fuziah) yang bertanggungjawab dengan Jualan Rahmah, ada risiko besar kerana kerjasama strategik itu bermakna timbul risiko,” tegas ahli parlimen Psndan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS