Peguam Latheefa Koya menggesa komuniti India serta kumpulan minoriti di Malaysia agar menghentikan sikap defensif setiap kali berdepan isu perkauman dan pertikaian berkaitan tanah rumah ibadat.
Berucap dalam forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) semalam, pengasas bersama NGO Lawyers for Liberty itu menegaskan isu yang melanda rumah ibadat bukan Islam kini tidak lagi sekadar berkisar pada soal kesahihan undang-undang atau status tanah, sebaliknya mencerminkan rasisme yang semakin membarah.
"Kita harus berhenti bersikap defensif. Saya katakan ini kepada komuniti India, berhenti cuba menegaskan patriotisme kita.
"Itu bukan isunya. Isunya adalah rasisme serius yang sedang berlaku dan semakin dinormalisasi. Masyarakat kini seolah-olah sudah lali dengan diskriminasi yang berlaku sehingga menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah.

"Tumpuan keterlaluan terhadap argumen teknikal undang-undang hanya akan menyebabkan komuniti tersebut musnah kerana hujah undang-undang sentiasa boleh dimanipulasi untuk menghalalkan tindakan pihak berkuasa.
"Jika saya menggunakan hujah undang-undang, akan ada orang lain yang menggunakan hujah undang-undang lain untuk menghalalkannya.
“Kita sedang mengalami tyranny of the majority (kezaliman majoriti)," katanya selaku panel pada forum bertajuk Konflik Rumah Ibadat: Cabaran dan Solusi anjuran gerakan akar umbi belia India di Kuala Lumpur, malam tadi.
Forum itu turut menampilkan panel lain termasuk Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan serta peguam PSM, K Kunasekaran.

Menurut Latheefa yang juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM, rakyat Malaysia perlu menumpukan tenaga untuk menentang rasisme secara strategik dan berkesan.
Isu kuil “haram” kembali menjadi perhatian tahun lalu susulan pemindahan kontroversi kuil Dewi Sri Pathrakaliamman (gambar atas) yang berusia lebih satu abad di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.
Perkembangan itu mencetuskan perdebatan awam yang memecah pandangan, khususnya berkaitan status undang-undang kuil Hindu, dengan sebahagian pihak menumpukan kepada aspek teknikal pemilikan dan perundangan.
Pada masa sama, Latheefa turut mengkritik segelintir individu dalam komuniti India yang disifatkan sebagai “India pembenci India”, yang didakwa memburukkan lagi keadaan demi meraih pengaruh di media sosial.
Malaysia dan India: Beza tapi masalah sama
Sementara itu, Latheefa turut membandingkan keadaan di Malaysia dengan India, yang menurutnya memperlihatkan situasi berbeza tetapi berakar daripada masalah sama — penindasan terhadap kelompok yang tidak mempunyai kekuatan politik signifikan.
"Pemimpin politik sering hilang kepimpinan moral kerana melihat undi komuniti tertentu sebagai kecil dan tidak mempunyai nilai strategik untuk disokong.
"Kita telah kehilangan kepimpinan moral dan politik kerana tiada nilai (undi). Jadi apa kita buat? Kita tetap perlu melawan.
"Lawan dan desak sehingga mereka mempersoalkan kredibiliti moral mereka sendiri.Jangan tundukkan kepala anda. Fokus pada isu rasisme dan lawan balik secara intelektual," katanya.
Untuk rekod, parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP) berdepan kritikan daripada pengkaji, kumpulan hak asasi dan sebahagian pengulas antarabangsa berhubung beberapa dasar yang didakwa memberi kesan tidak seimbang terhadap komuniti Muslim di Asia Selatan itu.
Contohnya, dasar seperti Akta Pindaan Kewarganegaraan India yang diluluskan di bawah pentadbiran Bharatiya Janata Party (BJP) dikritik kerana mengecualikan umat Islam daripada laluan kerakyatan yang dipercepatkan, sekali gus dilihat oleh pengkritik sebagai bersifat diskriminasi terhadap minoriti Muslim.
Dalam pada itu, kontroversi Masjid Babri di India—yang dirobohkan pada 1992 oleh kumpulan Hindu radikal sebelum mahkamah memutuskan tapaknya diserahkan untuk pembinaan kuil—sering dilihat sebagai simbol ketegangan agama dan dominasi majoriti terhadap minoriti Muslim.
Masjid Babri dipercayai dibina sekitar tahun 1528, semasa pemerintahan Babur, pengasas Empayar Mughal di India.
