Usul tergempar untuk menyingkirkan Rafizi Ramli sebagai Ketua PKR Pandan gagal mendapat sokongan apabila dibawa ke mesyuarat agung tahunan (AGM) cabang itu hari ini.
Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Pandan, Haqimi Zamri, memberitahu Malaysiakini bahawa usul tersebut ditolak dengan keputusan undian 42-34.
Bagaimanapun Rafizi tidak hadir ke mesyuarat cabang tersebut.
Haqimi mendakwa usul itu dibangkitkan oleh pihak yang ingin mengambil alih cabang berkenaan.
"Bukan hak cabang untuk menentukan (siapa ketua pada masa ini). Sudah ada surat tunjuk sebab dan Rafizi telah menjawabnya (dan terselamat daripada tindakan tatatertib)," kata pemimpin AMK itu.
Rafizi ketika dihubungi berkata dia hanya mengetahui perkembangan tersebut daripada Malaysiakini dan mendakwa ia pentanda jelas bahawa kepimpinan PKR mahu
menamatkan kerjaya politiknya.
Dia berkata usul tersebut menunjukkan parti itu sedang mengalami perpecahan sehingga ke peringkat akar umbi.
Katanya lagi, PKR tidak akan dapat memaksa ahli-ahli untuk menentangnya, dan tindakan sedemikian hanya akan mencetuskan tentangan serta menyebabkan ramai keluar parti.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, dia memilih untuk tidak hadir ke mesyuarat cabang hari ini kerana menjangkakan ia akan berlangsung dengan tenang.
Rafizi turut memaklumkan bahawa dia tidak hadir kerana masanya dalam PKR sudah hampir tamat, dan perkara itu telah disampaikan kepada pihak cabang.
"Apa yang PKR mahu lakukan, saya serahkan kepada PKR. Saya tidak bermai (politik). Masa saya dalam PKR sudah hampir tamat. Saya percaya parti ini telah hilang jiwanya dan tidak lagi selari dengan nilai-nilai saya," katanya.
Rafizi dilihat semakin lantang mengkritik PKR selepas tewas dalam pemilihan jawatan timbalan presiden tahun lalu.
Dia menjadi pengkritik lantang terhadap Presiden parti, Anwar Ibrahim — yang juga Perdana Menteri — dalam pelbagai isu termasuk dakwaan rasuah melibatkan individu yang rapat dengan Anwar.
