Ahli politik veteran, Ibrahim Ali hari ini mengumumkan penubuhan sebuah sekretariat khusus bagi menggerakkan kebangkitan rakyat secara besar-besaran bagi menentang kenaikan kos sara hidup dan harga minyak yang kian menghimpit negara.
Berucap dalam “Himpunan Bantah Harga Minyak, Rakyat Menentang” di Kuala Lumpur anjuran parti Putra hari ini, Ibrahim berkata penubuhan sekretariat itu sebagai “langkah pertama daripada seribu langkah lagi” yang akan menyusul dalam misi menuntut keadilan ekonomi buat rakyat jelata.
"Hari ini saya mengumumkan Sekretariat Rakyat Bertindak Menongkah Kos Sara Hidup.
"Badan ini akan menjadi pusat penyelarasan bagi parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyatakan bantahan terhadap polisi ekonomi kerajaan semasa.
"Biar saya mengetuai gerakan menongkah kos sara hidup ini. Kita akan lawan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.
"Saya akan menggerakkan penubuhan ini... Kalau tak ada orang, saya sendiri tidur di tengah-tengah jalan. Jangan duduk berdiam diri sahaja.
"Rakyat semua kena ikut serta," katanya kepada lebih kurang 100 hadirin di hadapan Pusat Beli Belah Sogo, Kuala Lumpur, petang ini.

Perhimpunan itu dihadiri wakil parti politik, NGO, mahasiswa dan aktivis tempatan.
Antara pemimpin yang hadir memberi sokongan ialah bekas speaker Dewan Negara, Rais Yatim, Presiden MAP, P Waythamoorthy, Adun Gombak Setia Hilman Idham dan ahli perniagaan, Albert Tei.
Para hadirin turut membawa plakad mendesak kerajaan menurunkan harga mendakwa fakta sebenar mengenai harga bahan api itu cuba disorokkan.
Sementara itu, Ibrahim berkata sekretariat itu akan ke seluruh negara untuk mengadakan himpunan sehingga kerajaan hari ini menurunkan harga minyak.

"Saya nak tanya, di manakah keuntungan yang dinaikkan harga minyak? Where the money goes (di mana pergi duitnya)?"
"Dengar serius, Ya Allah, kita ada formula... Menang hari ini, esok minyak turun. Ini kerajaan mana? Kata Anwar. Hari ini saya [tanya], ini kerajaan celaka dan sial. kerajaan apa ni?" katanya.
Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga presiden Putra berkata dia tidak akan teragak-agak untuk melakukan tindakan drastik sekiranya suara rakyat terus diabaikan.

"Kalau Anwar berani bertindak ganas nak tangkap saya, sini Anwar tangkap. By all means, you can arrest me. Tapi saya tak melanggar undang-undang. Saya bercakap atas hak kita sebagai orang biasa.
"Banyak orang tak kenal Anwar macam saya kenal Anwar, sebab kami bersama dua tahun (dalam tahanan ISA)... Saya beri jaminan, tak ada apa-apa. Dia tak berani dengan saya," katanya.
