Lebih seminggu berlalu, ahli perniagaan Victor Chin masih bersikap membisu selepas memberikan tempoh kepada seorang ahli parlimen PKR untuk memulangkan RM9.5 juta yang didakwa diambil bagi menyelesaikan skandal "mafia korporat".
Chin sebelum ini mengancam untuk mendedahkan identiti Ahli Parlimen tersebut jika bayaran tidak dibuat pada 30 Mac dan memberikan tempoh 15 jam kepada wakil rakyat terbabit.
Malaysiakini telah cuba mendapatkan maklum balas daripada Chin sejak minggu lalu, namun masih belum menerima sebarang jawapan setakat artikel ini ditulis.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Ahli Parlimen berkenaan ialah Menteri Sumber Manusia, R Ramanan.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh naib presiden PKR itu.
Dalam audio siar beberapa hari sebelum tempoh diberikan Chin tamat, Rafizi juga mendakwa dia menerima maklumat bahawa Ramanan telah menghantar peguam untuk bertemu wakil Chin bagi menyelesaikan jumlah yang didakwa masih tertunggak.
Ketika ditemui di satu acara pada Khamis lalu, Ramanan enggan menjawab soalan Malaysiakini mengenai dakwaan Rafizi tersebut.
“Saya tidak mahu menjawab. Tulis sahaja, saya tidak menjawab kepada blog,” katanya.
Sebelum ini, Chin dalam satu dokumen setebal 40 muka surat yang memperincikan kronologi kejadian mendakwa seorang ahli politik yang tidak dinamakan itu memintanya menguruskan RM10 juta secara tunai untuk menyelesaikan masalah dengan “mafia korporat”.
"Saya berjaya menyediakan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 lagi tidak pernah diserahkan kepadanya kerana anggota parlimen ini tidak menyelesaikan masalah tersebut. Tiada satu sen pun wang itu diserahkan kepada kumpulan mafia korporat.
"Saya mengeluarkan pesanan kepada anggota parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan dedahkan identiti anda," katanya.
Menurut ahli perniagaan itu, wang tersebut telah dipindahkan kepada ahli politik berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu.
