Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tempoh tamat: Chin terus membisu isu wakil PKR terima RM9.5 juta

Lebih 15 jam selepas tempoh akhir yang ditetapkan oleh Victor Chin untuk seorang anggota parlimen PKR memulangkan RM9.5 juta yang didakwa diambil bagi menyelesaikan skandal "mafia korporat", ahli perniagaan itu masih belum mendedahkan identiti wakil rakyat berkenaan.

Hal ini mencetuskan spekulasi bahawa Chin mungkin berdiam diri kerana sudah menerima bayaran balik sepenuhnya.

Beberapa cubaan untuk menghubungi ahli perniagaan itu bagi mendapatkan ulasannya — sama ada dia akan mendedahkan identiti anggota parlimen yang didakwa mengambil wangnya dalam masa terdekat atau sebaliknya — masih belum berjaya.

Ini termasuk permohonan yang dihantar melalui peguamnya, S Krishna Kumar, yang setakat pagi ini berkata dia akan "menyemak" perkara itu dengan Chin.

Minggu lalu, Chin menuduh seorang anggota parlimen PKR mengambil RM9.5 juta daripadanya untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya dengan kumpulan yang digelar "mafia korporat".

Dalam dokumen setebal 40 muka surat yang memperincikan kronologi kejadian, dia mendakwa wakil rakyat yang tidak dinamakan itu memintanya menyediakan RM10 juta tunai untuk menyelesaikan masalahnya dengan berbincang bersama kumpulan tersebut.

Chin juga mengugut untuk mendedahkan identiti anggota parlimen itu jika wang berkenaan tidak dipulangkan kepadanya.

"Saya berjaya menyediakan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 lagi tidak pernah diserahkan kepadanya kerana anggota parlimen ini tidak menyelesaikan masalah tersebut. Tiada satu sen pun wang itu diserahkan kepada kumpulan mafia korporat.

"Saya mengeluarkan pesanan kepada anggota parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan dedahkan identiti anda," katanya.

Menurut ahli perniagaan itu, dana tersebut dipindahkan kepada wakil rakyat berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu.

R Ramanan

Susulan kenyataan Chin, Naib Presiden PKR, R Ramanan mengadakan sidang media untuk menafikan bahawa dia adalah wakil rakyat yang dimaksudkan oleh Chin.

Menteri Sumber Manusia itu menegaskan dia tidak pernah bertemu dengan Chin dan berkata laporan polis akan dibuat terhadap tuduhan sedemikian, yang ditegasnya disebarkan oleh "pihak yang tidak bertanggungjawab".

"Ini adalah naratif kotor untuk mencemarkan (reputasi) PKR, anggota parlimennya, dan kerajaan.

"Bagaimana mungkin saya ambil RM9.5 juta daripada seseorang yang saya sendiri tidak kenali atau pernah temui?" kata anggota parlimen Sungai Buloh itu semasa sidang media pada Rabu, 25 Mac lalu.

Pada Jumaat lalu Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendakwa dia mendapat maklumat yang isu wang dituntut Chin sudah diselesaikan dan menjangkakan ahli perniagaan terbabit akan mendiamkan diri daripada mendedahkan identiti ahli parlimen terbabit.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan Rafizi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS