Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Charles, Rayer ingatkan Dusuki: Kes Zahid juga terkait kepentingan awam

Dua ahli politik mengingatkan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhar, tentang tugasnya sebagai “penjaga kepentingan awam” turut merangkumi kes rasuah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi, serta isu-isu berkait sensitiviti kaum.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berpendapat pandangan dikeluarkan Mohd Dusuki semasa mengulas keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenakan pertuduhan membunuh dalam kes kemalangan maut pada Mac lalu sebagai “melulu.”

Bercakap kepada Malaysiakini, Charles berkata apabila AGC menggunakan alasan kepentingan awam untuk mewajarkan keputusan itu – yang dianggapnya keterlaluan – ia mendedahkan bahawa undang-undang bersifat anjal di antara orang awam dengan individu yang berkuasa.

Dia merujuk kepada keputusan AGC menggugurkan 47 pertuduhan ke atas timbalan perdana menteri yang sebelum ini berdepan isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Memanjangkan pertuduhan bunuh ke atas kes-kes yang jelas tidak mempunyai niat bukanlah pendakwaan yang berani tetapi penyelewengan prinsip undang-undang yang melulu,” katanya.

Dia yang mewakili DAP sebelum ini berpendapat dalam konteks itu sistem undang-undang bukan saja cacat pada asalnya malah menyangkut faktor politik.

“Aspek kepentingan awam menjadi tidak lebih daripada slogan yang mudah, digunakan untuk menghukum mereka yang boleh diketepikan dan melindungi pihak yang berkepentingan.

"Itu bukan pendakwaan. Itu ialah kelompongan keadilan yang perlahan dan disengajakan, dan tidak masuk akal," katanya.

Kes Zamri, Tamim Dahri

Pada 1 April lalu, R Saktygaanapathy, 28, didakwa atas tuduhan membunuh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Kelang, Selangor.

Pembantu makmal itu didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, kira-kira jam 11.45 pagi pada 29 Mac lalu.

Menjawab kritikan terhadap keputusan AGC mengenakan pertuduhan membunuh ke atas Saktygaanapathy, Mohd Dusuki berkata, pihaknya sudah membuat pertimbangan wajar sebelum mengambil langkah berkenaan.

"Saya mesti bertindak sebagai penjaga kepentingan awam dan memastikan keadilan untuk keluarga mangsa yang menuntut keadilan yang adil dan saksama.

“Kematian itu amat tragik. Mengabaikan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain adalah kejam.

"Keterangan saksi dan rakaman kamera papan pemuka dari kenderaan saksi mengesahkan perlakuan tertuduh,” kata Mohd Dusuki pada 3 April lalu.

Dia juga menegaskan bahawa sesuatu kes dinilai oleh pihak pendakwaan secara berasingan kerana ia melibatkan fakta dan keadaan yang berbeza.

Ahmad Zahid Hamidi

Untuk rekod, bagi kes melibatkan Ahmad Zahid, pada 8 Jan lalu AGC menyatakan bahawa tiada tindalan lanjut (NFA) dibuat terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno berkenaan.

Langkah itu diambil walaupun pihak pembelaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid dalam kes melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ia mendorong banyak pihak mendesak AGC menjelaskan mengapa mereka mengambil keputusan NFA ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Pada 28 Jan, Ahmad Zahid memfailkan permohonannya untuk mendapatkan pembebasan penuh. Pada 24 Feb pula AGC tidak membantah permohonan berkenaan.

Sementara itu Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mempersoalkan masa yang panjang diambil AGC untuk mendakwa pihak tertentu yang memainkan isu perkauman di negara ini.

RSN Rayer

Justeru dia mengingatkan Ahmad Dusuki bahawa dia juga merupakan penjaga kepentingan awam dalam kes-kes perkauman, seperti yang melibatkan personaliti berpengaruh, Zamri Vinoth.

“Peguam Negara mesti bertindak selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak boleh sama sekalil dipengaruhi oleh emosi.

“Jika Peguam Negara adalah penjaga kepentingan awam, mengapa dia memerlukan lebih 1,000 laporan polis sebelum Zamri didakwa di mahkamah?” katanya.

Rayer juga menamakan individu yang mengaku sebagai aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak, sebagai satu lagi watak yang membimbangkan dan wajar diberikan perhatian oleh AGC.

Kata Rayer, sepatutnya AGC memohon waran tangkap tanpa jaminan ke atas Tamim Dahri apabila dia melarikan diri dari negara ini sekali gus gagal hadir di mahkamah.

“Mengapa Peguam Negara tidak memohon waran tangkap tanpa jaminan? Jika tidak, Tamim Dahri boleh ditangkap dan dibawa pulang ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan.

“Pada masa ini, mengapa tiada waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah terhadap Tamim? tanya ahli parlimen DAP itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS