mk-logo
Berita
Peguam: Madani Mart tetap francais walau Fuziah nafi

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh yang menegaskan Madani Mart bukan perniagaan francais mungkin tidak mencukupi untuk membolehkan rangkaian itu terlepas daripada bidang kuasa Akta Francais 1998.

Menurut pengamal undang-undang ini disebabkan walaupun tidak menggunakan label francais, banyak elemen dalam perniagaan tersebut menyerupai takrif francais menurut undang-undang.

Peguam Damien Yeo berkata undang-undang menilai kandungan sebenar, bukan istilah yang digunakan.

“Mahkamah Malaysia berulang kali memutuskan bahawa apabila sesuatu perjanjian, dari segi substansinya, merupakan francais tetapi tidak didaftarkan dengan sewajarnya, perjanjian itu boleh menjadi tidak sah, menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan sejak awal lagi,” tulisnya ketika menjawab pertanyaan Malaysiakini.

Dalam kes Madani Mart, Yeo berkata ciri-ciri yang menunjukkan ia merupakan francais termasuk pemberian hak menggunakan jenama Madani Mart; perkhidmatan seperti latihan, pengurusan sistem dan strategi pemasaran; kawalan berterusan melalui keperluan stok wajib serta pemantauan prestasi; dan keperluan pemegang lesen membayar yuran lesen serta royalti.

“Ringkasnya, pada pandangan saya, ia jelas memenuhi takrif francais, dan boleh membawa implikasi undang-undang pada masa depan jika berlaku pertikaian antara pemberi lesen dan pemegang lesen,” katanya.

Seorang lagi peguam, Farez Jinnah turut berpandangan bahawa Madani Mart boleh dianggap sebagai francais atas alasan sama.

Dia berkata maklumat lanjut diperlukan bagi menjelaskan mengapa Madani Mart mengklasifikasikan dirinya sebagai bukan francais namun pada masa ini, sebarang perjanjian lesen berkemungkinan melanggar Akta Francais 1998 bergantung kepada pertikaian dan fakta yang dibentangkan di mahkamah.

“Langkah terbaik untuk Yayasan Madani mengelakkan kontroversi ialah menjelaskan rasional model pelesenannya, walaupun ia menyentuh model francais dalam bahagian FAQ sendiri,” tambahnya.

Farez dan Yeo juga berpendapat bahawa walaupun Madani Mart membenarkan pemegang lesen memilih 50 peratus inventori selain item wajib, ia tidak semestinya mengecualikannya daripada diklasifikasikan sebagai francais.

Di bawah Akta Francais 1998, perniagaan francais mesti didaftarkan dengan Pendaftar Francais sebelum boleh mengambil francaisi.

Kesalahan pertama gagal mendaftar boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 bagi syarikat dan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, bagi individu. Kesalahan berikutnya membawa hukuman lebih berat.

Akta lompong, menteri boleh kecualikan

Sementara itu, akta tersebut turut menetapkan tempoh minimum kontrak francais selama lima tahun.

Ketidakpatuhan boleh melanggar peruntukan hukuman am akta tersebut, iaitu denda antara RM10,000 hingga RM50,000 bagi syarikat dan denda antara RM5,000 hingga RM25,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi individu. Kesalahan berikutnya membawa penalti lebih berat.

Laman web Madani Mart menyatakan perjanjian lesen awal lazimnya selama tiga tahun dan boleh diperbaharui, tertakluk kepada pematuhan piawaian operasi dan syarat pelesenan.

Akta Francais 1998 berada di bawah bidang kuasa menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Walaupun peguam menyatakan terdapat risiko Madani Mart melanggar akta tersebut walaupun menggunakan label pelesenan, namun Teo berkata terdapat satu jalan penyelesaian dari segi undang-undang.

Seksyen 58 akta itu menyatakan menteri yang bertanggungjawab boleh, melalui pewartaan, mengecualikan mana-mana individu, syarikat atau industri daripada mana-mana atau semua peruntukan undang-undang.

Dalam kes ini, menteri berkenaan ialah ketua Fuziah, Armizan Ali.

Teo berkata pengecualian tidak mengubah status francais kepada bukan francais, sebaliknya hanya mengecualikan keperluan pematuhan di bawah akta tersebut.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS