Polis Kuala Lumpur akan melengkapkan siasatan terhadap tiga aktivis yang terlibat dalam insiden mengganggu program dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki semalam dalam kadar segera.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata ketiga-tiga individu itu disiasat atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam, hasutan serta pencerobohan.
Dia memaklumkan pihaknya telah memperoleh perintah reman selama tiga hari terhadap suspek daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
"Kita buka siasatan atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam, hasutan dan cereboh. Kita akan cuba melengkapkan siasatan dalam kadar segera.

"Lebih dua laporan polis diterima berhubung insiden ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.
Fadil tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.
Terdahulu, majistret pagi tadi membenarkan perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap Presiden Liga Demokratik, Hamidin Nordin, aktivis Liga Mahasiswa, Ahsanul Akmal Sulam, serta penyelaras Mandiri, Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal.
Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186, 447 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Peruntukan undang-undang itu melibatkan kesalahan menghalang penjawat awam, pencerobohan, provokasi dan gangguan ketenteraman awam, dengan hukuman antara denda ringan (RM100) hingga penjara maksimum dua tahun.

Semalam, tiga aktivis itu ditahan selepas kejadian mengangkat plakad bertulis “Tangkap Azam Baki” ketika ketua pesuruhjaya SPRM itu menyampaikan ucapan awam di Putra World Trade Centre.
Ketiga-tiga aktivis itu telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sejak kira-kira jam 4.30 petang semalam.
