Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga minyak: Ada 'ulama' ulas dengan ilmu dangkal, kata PM

Anwar Ibrahim pagi ini mengecam seorang "ulama yang terkenal” dan “mempunyai ramai pengikut" kerana didakwa mengelirukan orang ramai dengan komen "dangkal" semasa memberikan pandangan mengenai krisis minyak dunia.

Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama tertentu, kritikan perdana menteri itu dipercayai disasarkan ke atas Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang semalam mendakwa Malaysia tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga bahan api.

Dalam ucapannya kepada penjawat awam di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, perdana menteri berkata kenyataan sedemikian menunjukkan "pengetahuan yang jelas dangkal" tentang isu tersebut.

Katanya pandangan yang diutarakan itu tidak membantu memudahkan keadaan sebaliknya sekadar membawa kesan sebaliknya.

“Ada ulama yang terkenal, yang ada banyak pengikut memberi pandangan umpamanya dengan mengatakan ‘tak betul, harga minyak tak naik, sebaliknya hanya di Malaysia saja naik.’

“Itu kefahaman kedangkalan ilmu yang ketara, tetapi diselubung (dibalut) dengan fahaman agama dan al-Quran menyebabkan orang ramai agak percaya, tetapi dia tak membantu malah mengelirukan.,” katanya.

Program itu merupakan perhimpunan bulanan dan diadakan di Dewan Sentral RAC, Kementerian Pengangkutan. Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, serta pegawai kanan lain.

Ujian untuk mendewasakan

Semalam Abdul Hadi menganggap kerajaan tidak ada sebarang alasan untuk menaikkan harga minyak di negara ini kerana Malaysia bukan salah sebuah negara yang disekat oleh Iran di Selat Hormuz.

Bekas duta khas ke Timur Tengah itu juga menegaskan, Tehran menghargai Malaysia kerana ramai rakyat di negara ini yang berani enggan berpihak kepada kerajaan yang takut kepada Washington dan Israel.

Pada masa sama, tambah Abdul Hadi, Malaysia memiliki telaga minyak dan gas sendiri, dan banyak sumber lain yang boleh dimanfaatkan dengan kerjasama dalam kalangan dunia Islam, terutama negara jiran.

Dia bagaimanapun tidak memperincikan “sumber lain” yang dimaksudkan itu.

“Masalah sebenar yang berlaku (ialah kerana) banyaknya kebocoran dan salah laku dalam pengurusan,” katanya.

Menjelaskan keadaan, Anwar berkata, terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi naik turun harga minyak.

Katanya walaupun telah berjaya mendapatkan kebenaran Tehran untuk kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz, ada aspek lain yang meningkat kesan daripada perang di Asia Barat.

“Kos minyak yang lama diambil sebelum perang tersangkut di (Selat) Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat.

“Oleh kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri, caj penghantaran juga bertambah.

“Maknanya minyak yang asalnya itu sepatutnya rendah (kosnya) untuk diproses di Pengerang, (kini) sudah meningkat,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengingatkan ahli politik tertentu tentang larangan al-Quran daripada mencampurkan kebenaran dengan kebatilan.

“Saya anggap (apa yang berlaku sekarang) ini adalah ujian Allah untuk mendewasakan kita, untuk menginsafkan kita,” kaanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS