Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal senada dengan Fadhli puji langkah Thai tangani kos sara hidup
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 3:41 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh senada dengan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung cara kerajaan negara jiran, Thailand mengendalikan kenaikan kos sara hidup dan menurunkan harga barangan asas susulan kenaikan harga minyak akibat perang di Asia Barat.

Akmal dalam kenyataannya di media sosial, hari ini menarik perhatian mengenai tindakan kerajaan Thailand menyemak semula formula harga minyak yang membolehkan harga bahan api itu turun serta-merta apabila harga pasaran dunia merosot.

“Di Malaysia harga minyak kita terus meningkat akibat formula penentuan harga minyak Malaysia ditentukan oleh purata harga bagi minggu sebelumnya.

“Jadi mungkin kerajaan Malaysia boleh melihat semula formula yang digunakan oleh Thailand untuk menentukan harga minyak ataupun cari semula raja formula yang sebelum ini kata boleh turunkan minyak,” katanya.

Semalam, Ahmad Fadhli yang juga adalah ahli parlimen Pasir Mas menyifatkan inisiatif kerajaan Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri Srettha Thavisin sebagai satu langkah yang "padu" melalui pelancaran kempen 'Thai Help Thai'.

Katanya, kempen tersebut menyaksikan Kementerian Perdagangan Thailand bekerjasama dengan pemain utama sektor peruncitan termasuk Lotus’s, Makro Thailand, Tops Market dan GO Wholesale bagi memotong harga lebih 3,000 barang keperluan asas.

“Hasilnya? Lebih 3,000 barang keperluan asas terus dipotong harga, ada yang sampai 58 peratus.

“Beras, ayam, ikan, barang dapur, semua kena. Barang mandi pun sama seperti sabun, syampu, pencuci, ada yang diskaun sampai 50 peratus. Siap ada promo Beli 1 Percuma 1 lagi,” katanya.

Apa yang menarik, menurut pemimpin PAS itu, kerajaan Thai menggunakan produk jenama tempatan yang kualitinya adalah okay tetapi harga lagi murah.

“Jadi rakyat (Thai) ada lebih banyak pilihan tanpa perlu bayar mahal. Tahniah rakyat Thailand atas keprihatinan kerajaan," katanya.

Langkah drastik negara jiran ini hadir ketika rakyat Malaysia terus membincangkan mekanisme terbaik termasuk memperluaskan cawangan Madani Mart di seluruh negara yang berkonsep kedai runcit harga rahmah.

Bagaimanapun kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, bahawa untuk Madani Mart, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembukaan cawangan pertama yang terletak di Indera Mahkota, Kuantan itu.

"Tapi di sini (Madani Mart) kerajaan tak keluar modal, kerajaan satu sen pun tak keluar modal, jadi lainlah modelnya.

"Ia bukan juga konsep francais kerana kalau francais, ia mengikat 100 peratus, tapi model ini fleksibel," katanya.

Bagaimanapun peguam Damian Yeo menyanggah kenyataan Fuziah dan berkata, ciri-ciri Madani Mart sebagai francais ialah: memberikan hak untuk menggunakan jenamanya; perkhidmatan yang disediakan termasuk latihan, pengurusan sistem dan strategi pemasaran; kawalan berterusan melalui item stok mandatori dan pemantauan prestasi; dan keperluan pemegang lesen untuk membayar yuran pelesenan dan royalti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS