Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap dakwaan transaksi berjumlah RM500,000 yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri.
Setiausaha Agung SekPur Mejar (B) Razali Zakaria berkata hal ini susulan maklumat yang tular di sebuah portal dalam talian berhubung dakwaan skandal projek mesin layan diri yang mendedahkan pembayaran rasuah berjumlah RM500,000.
"Semua butir yang kita dapat adalah seperti yang disiarkan oleh (portal) Malaysia Corporate iaitu kira-kira 20 muka surat... oleh itu, kita dapati memang ada bukti sahih mengenai transaksi RM500,000.
" ...bagaimanapun, kita serahkan kepada pihak polis dan SPRM untuk membuktikan ataupun menyiasat sama ada benar ataupun tidak," katanya kepada media selepas membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya hari ini.
Razali, yang juga Setiausaha Pertubuhan Media Digital Malaysia (Memo), berkata SekPur telah membuat laporan polis dua hari lepas setelah menerima maklumat daripada portal berkenaan, dan laporan kepada SPRM hari ini bagi memastikan kesahihan maklumat dapat disiasat oleh pihak berkuasa serta mengelakkan spekulasi berterusan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata dakwaan membabitkan seorang bekas menteri itu memerlukan penelitian serius kerana berpotensi menjejaskan integriti institusi kerajaan sekiranya tidak disiasat secara telus.
Ditanya sama ada SekPur membuat semak silang fakta, Razali berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk melakukan semakan balas terhadap dokumen yang didakwa mengandungi maklumat transaksi kewangan sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada SPRM dan polis untuk menjalankan siasatan.
Beliau mendakwa dokumen yang diterima mengandungi pelbagai maklumat terperinci termasuk transaksi bank, profil individu dan sebut harga yang disifatkan lengkap namun pengesahan kesahihannya di bidang kuasa pihak berkuasa.
Razali juga berkata pihak berkuasa seperti SPRM dan polis boleh melakukan semakan lanjut termasuk mendapatkan pengesahan daripada institusi kewangan sekiranya perlu.
Sementara itu, Pengerusi Biro Politik SekPur Shahbudin Embun berkata siasatan oleh SPRM penting bagi menentukan sama ada wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah seperti yang didakwa dalam laporan berkenaan.
- Bernama
