Gabungan agensi pekerjaan swasta menyatakan bantahan keras terhadap cadangan pelaksanaan The Universal Recruitment Advanced Platform atau sistem Turap, yang didakwa bakal mewujudkan monopoli dalam sektor pengambilan buruh asing.
Gabungan itu, yang melibatkan tiga persatuan masing-masing Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (Pikap) dan Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma) menyuarakan kebimbangan bahawa platform tunggal ini akan melumpuhkan lebih 1,000 agensi berlesen sedia ada.
"Walaupun sistem ini bertujuan mempromosikan pengambilan pekerja secara beretika, namun pelaksanaannya sebagai saluran tunggal mandatori bakal mengundang implikasi perundangan dan ekonomi yang parah.
"Kami menyokong pengambilan beretika, namun model Turap akan mewujudkan satu entiti komersial swasta sebagai ‘penjaga pintu’ tunggal. Ini bercanggah dengan prinsip pasaran bebas," kata mereka dalam satu surat bersama kepada 11 menteri kabinet.

Terdahulu, pada 8 April gabungan agensi pekerjaan swasta itu menulis surat terbuka kepada 11 menteri kabinet membuat permohonan mendesak untuk tidak menyokong pelaksanaan sistem Turap sebagai saluran tunggal mandatori pengambilan pekerja asing.
Surat itu yang dilihat Malaysiakini dialamatkan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Manusia R Ramanan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Johari Abdul Ghani, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Turut dihantar kepada Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Arthur Joseph Kurup dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

Salah satu kebimbangan utama yang dibangkitkan dalam surat tersebut adalah pelanggaran terhadap Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, di mana sesebuah entiti swasta tidak sepatutnya diberi kuasa mutlak mengatasi agensi berlesen khususnya kategori B dan C.
"Pengenalan platform mandatori ini juga dilihat sebagai satu bentuk pemusatan kuasa pasaran yang boleh melanggar Akta Persaingan 2010.
"Apabila semua majikan dan ejen asing dipaksa melalui satu sistem tanpa pilihan alternatif, maka kuasa penentuan harga akan tertumpu dan menjejaskan persaingan sihat," kata mereka.
Surat itu ditandatangani oleh Presiden Papa Foo Yong Hooi, Presiden Pikap Fiona Low dan Presiden Pusma Siti Zarina Ismail.
Polis siasat Malaysiakini
Pada 27 Mac lalu Malaysiakini melaporkan kerajaan sedang mempertimbang pengenalan satu sistem digital baru bagi pengurusan pekerja asing, yang menurut sumber industri bakal dikenali sebagai Turap.
Cadangan itu, kata sumber dilihat sebagai usaha untuk menambah baik ekosistem pengambilan tenaga kerja asing yang sering dikaitkan dengan isu kos tinggi dan kebajikan pekerja.
Namun, terdapat pemain industri yang mempersoal jika sistem baru tersebut akan benar-benar membawa perubahan atau sekadar menambah satu lagi lapisan dalam landskap sedia ada yang sudah melibatkan beberapa sistem berbeza.
Pada masa ini, pengurusan pekerja asing banyak bergantung kepada sistem Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) yang dikendalikan oleh Bestinet Sdn Bhd.
Walaupun, sistem ini dikendalikan oleh pihak swasta, setakat 31 Disember 2025, kerajaan membayar lebih RM381 juta kepada Bestinet untuk menguruskan 2.35 juta pas yang dikeluarkan melalui 11 modul utama, termasuklah eQuota, sistem bioperubatan (BMS) dan pengambilan pekerja (eRecruitment).
Kerajaan sedang membangunkan sistem National Integrated Immigration System (NIISe), sebuah sistem berskala besar yang bertujuan memperkukuh pengurusan imigresen termasuk penggunaan biometrik dan pengecaman wajah.
Pada masa sama, kerajaan juga membangunkan National Integrated Immigration System (NIISe) melalui Heitech Padu Berhad dengan kos kontrak sekitar RM1.01 bilion.
Ketika itu, Papa yang mewakili lebih 700 syarikat agensi pekerja swasta, menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan proses pengambilan secara menyeluruh sekiranya peranan agensi berlesen dikurangkan.

Susulan laporan itu, polis menyiasat Malaysiakini dengan seorang wartawannya dipanggil untuk dirakam keterangan.
Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berhubung sistem ini sejak Februari tidak berjaya.
Kesuma merupakan kementerian yang bertanggungjawab kebajikan pekerja asing di Malaysia.
