Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat Malaysiakini, wartawan dipanggil beri keterangan
Diterbitkan:  Apr 1, 2026 8:30 AM
Dikemaskini: 10:35 AM
  • Dikemas kini dengan tambahan kenyataan kumpulan dan kesatuan wartawan.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat Malaysiakini berhubung satu artikel mengenai cadangan sistem pengambilan pekerja asing, dengan seorang wartawannya dipanggil untuk dirakam keterangan.

Dalam surat rasmi kepada Ketua Editor Malaysiakini, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Wartawan kanan, B Nantha Kumar, diminta hadir ke IPD Sepang, pagi semalam bagi tujuan rakaman keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Nantha dirakam keterangan selama satu jam setengah.

Siasatan tersebut berkait dengan laporan bertajuk “Cadangan sistem baru ambil pekerja asing cetus persoalan” yang diterbitkan Malaysiakini pada 27 Mac.

Polis memaklumkan rakaman keterangan itu diperlukan bagi melengkapkan siasatan kes.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Mior Mohd Nor Azuan Alias ketika dihubungi mengesahkannya dan berkata siasatan masih berjalan.

“Setakat ini kita ada terima aduan dan masih dalam siasatan,” katanya ringkas.

Pada 27 Mac lalu Malaysiakini melaporkan kerajaan sedang mempertimbang pengenalan satu sistem digital baru bagi pengurusan pekerja asing, yang menurut sumber industri bakal dikenali sebagai The Universal Recruitment Advance Platform (Turap).

Cadangan itu, kata sumber dilihat sebagai usaha untuk menambah baik ekosistem pengambilan tenaga kerja asing yang sering dikaitkan dengan isu kos tinggi dan kebajikan pekerja.

Namun, terdapat pemain industri yang menyoal jika sistem baru tersebut akan benar-benar membawa perubahan atau sekadar menambah satu lagi lapisan dalam landskap sedia ada yang sudah melibatkan beberapa sistem berbeza.

Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) yang mewakili lebih 700 syarikat agensi pekerja swasta, menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan proses pengambilan secara menyeluruh sekiranya peranan agensi berlesen dikurangkan.

Kumpulan wartawan bimbang

Sementara itu, kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM) dalam kenyataan menyuarakan kebimbangan berhubung siasatan terhadap Malaysiakini dan wartawannya. 

Menurut Geramm dan NUJM, mereka mengakui setiap individu berhak membuat laporan polis, manakala pihak berkuasa pula bertanggungjawab untuk menyiasat setiap aduan yang diterima.

Bagaimanapun, Geramm dan NUJM menegaskan bahawa sebarang siasatan melibatkan media perlu menghormati prinsip kebebasan media serta semangat “journalism is not a crime” (kewartawanan bukan jenayah).

“Ini termasuk sebarang siasatan yang dijalankan bawah peruntukan undang-undang selain dari Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan. 

“Kami mewakili organisasi terlibat dalam proses penubuhan Majlis Media Malaysia menyeru agar kerjasama rasmi dapat dibentuk bersama agensi-agensi penguatkuasaan, khususnya PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Menurut mereka, peranan Majlis Media Malaysia sebagai badan kawal selia kendiri berasaskan etika penting untuk melindungi organisasi media, wartawan dan sumber daripada risiko penjenayahan.

“Kami percaya peranan Majlis Media Malaysia sebagai badan kawalan kendiri berpandukan etika adalah penting bagi melindungi organisasi media, wartawan dan sumber berita dari penjenayahan (criminalisation) oleh mana-mana pihak. 

“Beberapa siri siasatan terkini menegaskan keperluan jaminan perlindungan ke atas hak individu dan wartawan dalam proses siasatan, termasuk hak untuk mendapatkan khidmat guaman serta hak untuk tidak menjawab bagi melindungi diri atau sumber maklumat,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS