Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan memperketat kawalan keselamatan pada satu acara yang menampilkan Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki, hari ini.
Pasukan keselamatan ditempatkan di setiap pintu masuk Bangi Avenue Convention Centre, lokasi Azam menyampaikan ucapan konvokesyen kepada penjawat awam yang kini ditauliahkan sebagai pegawai integriti bertauliah (CeIO) selepas mengikuti program anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) tahun lalu.

Beberapa laporan media menyatakan turut terdapat kehadiran polis dan polis bantuan di lokasi berkenaan.
Sinar Harian melaporkan kawalan keselamatan dipertingkat susulan insiden minggu lalu, apabila tiga individu mengganggu Azam ketika beliau berucap di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Selain penambahan anggota keselamatan, dilaporkan pihak media juga perlu mendaftar serta mendapatkan pas khas sebelum dibenarkan memasuki dewan acara bagi majlis graduasi tersebut.
Acara yang bermula pada jam 8.30 pagi itu berakhir tanpa sebarang insiden, dengan seramai 486 pegawai dari sektor awam dan swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) — semuanya berpakaian jubah konvokesyen — menerima sijil setelah menamatkan program CeIO tahun lalu.
Dalam ucapannya, Azam berkata pegawai-pegawai tersebut mampu membantu memperkukuh kawalan dalaman serta memupuk integriti dalam organisasi masing-masing.
“Program CelO ini dirangka secara komprehensif bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami aspek perundangan dan pematuhan, malah berkeupayaan melaksanakan fungsi pencegahan rasuah, pengurusan integriti serta memberi khidmat nasihat tadbir urus secara efektif,” katanya seperti dipetik Bernama.

Dia berkata MACA telah membangunkan Arahan Perdana Menteri 2026 yang baru bagi program CeIO bagi memastikan ia selaras dengan agenda nasional.
Pada 7 April, tiga individu ditahan selepas mengangkat plakad “Tangkap Azam Baki” ketika Azam menyampaikan ucaptama pada acara Wacana Ilmiah Perdana.
Ketiga-tiga mereka — penyelaras Mandiri Hamdin Nordin dan Fakrurrazzi Khairur Rijal, serta aktivis Liga Mahasiswa Malaysia Ahsanul Akmal Sulam — dibebaskan pada 9 April, dan kini disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam, menceroboh, melakukan provokasi serta mengganggu ketenteraman awam.
Azam sebelum ini menjadi tumpuan berhubung pegangan sahamnya yang didakwa melebihi had ditetapkan ke atas penjawat awam.

Pada masa sama, SPRM dan Azam turut dikaitkan dengan skandal “mafia korporat”, apabila pegawai antirasuah didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk melaksanakan pengambilalihan korporat.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu berulang kali menafikan penglibatannya dalam dakwaan “mafia korporat”, dengan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai sebahagian kempen memburukkan reputasi institusi berkenaan.
Kerajaan yang sedang menyiasat kedua-dua dakwaan itu masih belum memberikan sebarang perkembangan terkini mengenai siasatan.
