mk-logo
Berita
Video kritik PM: Jorjet Myla dilapor ditahan bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Seorang wanita dilaporkan ditahan dan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, dipercayai susulan kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok.

Hantaran tular di media sosial turut mendakwa wanita berkenaan — yang menggunakan nama Jorjet Myla — direman selama tiga hari. Turut dilaporkan bahawa dia tidak diwakili peguam ketika proses reman dijalankan.

Setakat ini, polis belum memberikan maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini sejak pagi tadi bagi mengesahkan penahanan serta butiran lanjut berkaitan kes tersebut.

Akaun TikTok milik Myla juga tidak lagi dapat diakses namun salinan video yang didakwa menjadi punca siasatan itu terus tersebar meluas.

Dalam video berkenaan, Myla dilaporkan melontarkan kritikan terhadap Anwar dengan menuduh perdana menteri sering menyalahkan pihak lain atas kelemahan serta prestasi yang disifatkan tidak memberangsangkan.

Dia juga mendakwa Anwar masih berperanan seperti ketua pembangkang dan mencadangkan bahawa presiden PKR itu mungkin lebih selesa berada di luar kerajaan.

Penahanan Myla mencetuskan gelombang kritikan daripada PN serta penyokongnya.

Ketua Dewan Muslimat Muda PAS (Ameerah), Mardhiyyah Johari (gambar bawah) menuduh kerajaan menyekat kebebasan bersuara.

“Adakah di bawah Kerajaan Madani ini, mengkritik Perdana Menteri atau kerajaan sudah jadi satu jenayah," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata penahanan tersebut bercanggah dengan pendirian lalu Pakatan Harapan yang menentang Akta Hasutan dan boleh mewujudkan suasana ketakutan.

Dia turut memberi amaran bahawa pihak dalam kerajaan Madani mungkin berdepan akibat daripada tindakan mereka pada masa akan datang.

“Semakin zalim kamu tekan rakyat, semakin luas pintu mahkamah dan pintu penjara terbuka untuk kamu selepas kamu kalah nanti. Fikirkanlah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Antara pihak lain yang menyuarakan kebimbangan termasuk sayap Pemuda Bersatu.

Sebelum ini pada Januari, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Akta Hasutan hanya digunakan bagi kes melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja dan perkara yang mengancam kedaulatan negara.

Namun, kumpulan hak asasi manusia Suaram dalam satu laporan menyatakan bahawa separuh daripada siasatan hasutan pada 2025 melibatkan kritikan terhadap pemimpin politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS