Sekeping gambar memaparkan wanita bertudung memeluk seekor anjing di tepi lebih raya tular semalam dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Di sebalik gambar itu, terselit detik-detik cemas yang dilalui sepasukan sukarelawan dan penyelamat haiwan.
Semuanya bermula apabila van milik NGO penyelamat haiwan Star Shelter Shikin yang membawa puluhan haiwan terlibat dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah lori di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Simpang Ampat, Melaka, pada Ahad.
Pengasas pusat perlindungan haiwan itu, Norashikin Ahmad, 32, menceritakan semula detik-detik kejadian yang menurutnya berlaku amat pantas.
“Keadaan berlaku dengan sangat pantas seperti angin lalu sahaja,” kata Norashikin.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia bersama pasukan dalam perjalanan ke acara Oh My Pet Expo di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur.
Mereka membawa kira-kira 20 ekor haiwan terdiri daripada kucing dan lima ekor anjing untuk tujuan pameran dan diberikan kepada tuan baru.
Menurutnya, sebaik memasuki lebuh raya dalam sekitar jam 9 pagi, van yang dinaiki mula mengeluarkan bunyi pelik dan kuat.
Mereka kemudian berhenti di laluan kecemasan untuk memeriksa keadaan enjin dan membetulkan beberapa sangkar kucing yang didapati senget.
Tambah Shikin, ketika kejadian kakaknya bersama seorang sukarelawan sedang berada dalam van, manakala dia dan suaminya berada di luar untuk memeriksa kenderaan.
Kakaknya tercampak keluar akibat impak kuat selepas sebuah lori merempuh van dari belakang, manakala sukarelawan itu terperangkap bersama semua haiwan di dalam van.
Shikin berkata ada beberapa haiwan terlepas keluar dari sangkar termasuk seekor anjing berkaki tiga yang dikenali sebagai Nine Nine.
Dalam keadaan cemas, dia mengakui cuba menyelamatkan anjing kesayangannya itu namun terpaksa berpatah balik apabila melihat asap berkepul keluar dari van dan bimbang kenderaan itu akan meletup.
“Nine Nine terlepas ke tengah jalan. Saya cuba kejar untuk selamatkannya, tetapi nampak asap semakin tebal dengan enjin masih hidup. Saya berpatah balik kerana bimbang van meletup — nyawa manusia lebih penting,” katanya.
Menurut Shikin, sebanyak 14 ekor haiwan yang terselamat dan sedang menerima rawatan.
Tiga ekor kucing dilaporkan mati dilanggar manakala tiga lagi masih hilang.
Bagi anjing pula, empat ekor ditempatkan di wad, sementara Nine Nine yang pada awalnya hilang berjaya ditemui di kawasan hutan berhampiran dengan bantuan orang awam dan usaha pasukan penyelamat.
Operasi mencari haiwan yang masih hilang turut dibantu NGO serta beberapa sukarelawan.
Laporan awal media memaklumkan bahawa kemalangan itu kira-kira jam 10.15 pagi itu menyebabkan van tersebut terdorong ke hadapan sebelum terbalik ke dalam parit di bahu jalan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, deputi superintenden Azmi Ali, kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Hino dan van jenis Nissan Urvan.
Lori yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dari Johor itu dipercayai berada di lorong kiri sebelum sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti tiba-tiba memasuki lorong tersebut dari lorong tengah.
Situasi itu menyebabkan pemandu lori bertindak mengelak ke kiri sehingga memasuki lorong kecemasan.
Dalam usaha mengelak, lori tersebut dikatakan melanggar bahagian belakang van yang ketika itu berhenti di lorong kecemasan akibat masalah teknikal dan sedang menunggu bantuan.
Akibat kejadian, dua penumpang wanita berusia 33 dan 41 tahun mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Rembau.
Namun dalam satu hantaran di Instagram Stories, Shikin mendakwa pemandu lori tidak cuba mengelak kenderaan lain sebaliknya dia memandu dalam keadaan mengantuk.
Peluk Nine Nine
Kejadian itu turut tular di media sosial selepas satu video dan gambar menunjukkan Shikin memeluk erat Nine Nine sebaik saja haiwan itu ditemui semula.
Dalam rakaman itu, Shikin dilihat menangis sambil membelai anjing itu.
Perkongsian itu mengundang reaksi yang bercampur.
Sebahagian warganet melihat tindakan itu sebagai reaksi spontan seorang pencinta haiwan yang diberikan “peluang kedua” untuk bertemu semula dengan haiwan kesayangan.
Malah, ramai warganet turut tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu operasi perlindungan haiwan tersebut.
Namun, tidak kurang juga yang mengecam tindakannya. Antara komen yang ditinggalkan termasuk pandangan bahawa perbuatan memeluk anjing secara terbuka boleh mengundang fitnah serta bertentangan dengan sensitiviti agama.
Ada juga warganet yang menyifatkan reaksi tersebut sebagai keterlaluan walaupun mengakui usaha menyelamat haiwan adalah satu kerja kebajikan.
Dalam masa sama, sebahagian pihak mempertahankan Shikin dengan menyifatkan detik tersebut sebagai manifestasi emosi dalam situasi cemas, selain mengingatkan bahawa fokus utama sepatutnya diberikan kepada usaha menyelamat dan kebajikan haiwan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Shikin turut dikenali sebagai antara penyelamat haiwan yang aktif dan berdedikasi di Malaysia. Dia sering menyertai ekspo kucing bagi membantu haiwan peliharaannya mendapatkan keluarga angkat, selain menjual barangan bagi menampung kos operasi pusat perlindungannya.
