Tiga persatuan agensi pekerjaan menyatakan sokongan terbuka terhadap kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menggesa Putrajaya menilai semula sistem pengurusan pekerja asing negara yang dianggap “terlalu kompleks”.
Pada satu kenyataan bersama, Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (Pikap) dan Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (Pusma) menegaskan kerenah birokrasi sedia ada hanya menambah beban kepada majikan dan agensi.
“Pengurusan pekerja asing di Malaysia kini melibatkan terlalu banyak pihak ketiga yang tidak perlu, sekali gus menjauhkan peranan asal Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang dikawal selia di bawah Akta 246.
“Kami bersetuju sepenuhnya dengan Nurul Izzah. Proses pengambilan tidak sepatutnya mempunyai lapisan kontraktor swasta yang begitu banyak untuk menguruskan sistem bagi pihak kerajaan,” kata kenyataan itu.
Sokongan itu menyusul selepas Nurul semalam dilaporkan meminta kerajaan menyelaraskan proses pengambilan pekerja asing bagi mengelakkan kewujudan “berlapis-lapis” kontraktor swasta yang mengaut keuntungan atas sistem tersebut.
Dia menekankan bagaimana proses pengambilan pekerja asing, dari semasa ke semasa, melibatkan “begitu banyak lapisan kontraktor swasta” untuk menguruskan sistem tersebut.
“Pengantara bertambah berlipat kali ganda, kos meningkat, dan tanggungjawab menjadi kabur. Apa yang tinggal adalah struktur yang kelihatan semakin terpisah daripada tujuan asalnya.
“Mudah untuk bercakap perkara ini semata-mata berkaitan istilah ekonomi. Kita bercakap dengan segera mengenai jumlah kiriman wang yang keluar dari Malaysia, namun angka tidak memberikan gambar sebenar.
“Persoalan yang lebih sukar adalah bagaimana sistem yang mengawal aliran ini mula berstruktur, dan sama ada struktur itu masih berkhidmat untuk kepentingan nasional,” kata Nurul Izzah melalui artikelnya yang diterbitkan The Star semalam.
Mengulas lanjut, gabungan persatuan berkenaan turut menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk memperkenalkan satu lagi platform rekrutmen global tunggal.
“Kami membantah sekeras-kerasnya penubuhan platform tersebut. Ia dilihat sebagai satu langkah untuk menghapuskan peranan agensi berlesen secara terburu-buru tanpa rundingan menyeluruh dengan pemegang taruh.
“Platform digital baru yang dicadangkan itu bukan sahaja merumitkan keadaan, malah berisiko melumpuhkan ekonomi 12,000 keluarga yang bergantung kepada industri agensi pekerjaan berlesen,” kata mereka.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, R Ramanan berkata kementeriannya telah membentangkan inisiatif memperkenalkan sistem baru pengambilan pekerja berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Sistem itu dilaporkan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perantara serta memastikan kos pengambilan ditanggung sepenuhnya oleh majikan selaras dengan prinsip mengelakkan risiko hutang dan eksploitasi pekerja oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
