Dewan Pemuda PAS Melaka tampil mempertahankan teguran berhubung penganjuran hiburan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri itu, sambil menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan namun ia perlu mematuhi adab serta garis panduan syariah.
Pendirian itu muncul susulan kritikan terhadap persembahan melibatkan artis yang didakwa tidak sensitif dengan suasana Syawal sejurus selepas Ramadan.
Ketua Pemuda PAS Melaka, Zulhilmi Suboh menjelaskan teguran tersebut bertujuan mencetuskan kesedaran awam mengenai bentuk hiburan yang wajar dalam majlis rasmi, khususnya yang melibatkan masyarakat Islam.
“Persoalannya adalah apakah rasional serta bentuk hiburan yang dipilih, dan nilai apa yang ingin disampaikan kepada masyarakat, khususnya rakyat Melaka,” katanya melalui satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Semalam, Pemuda PAS Melaka mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang didakwa menganjurkan persembahan hiburan melibatkan artis sejurus selepas bulan Ramadan.
Menurutnya, pendekatan pentadbiran negeri itu dilihat tidak selari dengan identiti Melaka yang mempunyai sejarah kegemilangan dalam aspek agama Islam.
“Memang kerajaan Negeri Melaka di bawah Umno nak ajak rakyat begini ya?
“Baru habis Ramadan, bawa artis persembahan. Melaka asalnya adalah negeri yang kegemilangan dari segi agama Islam. Tapi pemimpin hari ini entah rasa macam tiada apa-apa. Sebab tu admin tulis Majlis Jamuan bukan biasa-biasa.
“Itupun bukan main perjuang Melayu Islam. Oooh Melakaku,” menurut kenyataan Zulhilmi semalam yang turut disertakan tangkap layar majlis sambutan hari raya tersebut.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada rumah terbuka Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Villa d’Acqua, Masjid Tanah, yang sebelum ini menjadi perhatian.
Acara tersebut dilaporkan menampilkan persembahan hiburan berskala besar termasuk penyanyi Indonesia, Rossa yang menyanyikan 11 lagu di hadapan ribuan pengunjung.
Penghibur ternama tanah air Siti Nurhaliza, Cakra Khan, Ramli Sarip dan Tam Spider turut memeriahkan majlis rumah terbuka itu sekali gus mendorong sesetengah pihak melabelkannya sebagai “mini konsert percuma”.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ketua Menteri Melaka bagi mendapatkan maklum balas lanjut berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Zulhilmi menegaskan PAS tidak menolak hiburan namun ia perlu berlandaskan prinsip agama.
“Kami tidak menolak hiburan dalam mana-mana penganjuran program, termasuk majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Namun demikian, hiburan yang disajikan mestilah selari dengan adab, tatasusila serta etika Islam, lebih-lebih lagi dalam suasana Syawal yang datang selepas tarbiah Ramadan,” katanya.
Menurutnya, PAS mempunyai model hiburan patuh syariah yang telah dilaksanakan di negeri yang ditadbirnya seperti di Kelantan dan Terengganu.

Malah, katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri PAS Pusat pada 11 April lalu di Melaka turut menampilkan elemen hiburan.
“Namun, hiburan yang diketengahkan adalah berasaskan kebudayaan tempatan Melaka yang dipersembahkan dengan penuh adab dan menjaga tatasusila.
“Ia bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat nilai warisan dan mendidik masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, Pemuda PAS Melaka turut membangkitkan isu kos penganjuran, khususnya perbelanjaan besar bagi menjemput artis tempatan dan luar negara.

Zulhilmi berkata perkara itu menimbulkan persoalan sama ada ia satu keperluan atau pembaziran, terutama ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
“Adalah lebih wajar sekiranya peruntukan besar tersebut disalurkan kepada kebajikan dan bantuan rakyat yang lebih memerlukan,” menurut kenyataan itu.
