Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Bebal, bangang’ hanya retorik kosong: Pemuda PKR tempelak Hadi
Diterbitkan:  Apr 15, 2026 1:39 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Sayap pemuda PKR (AMK) menyelar kenyataan terbaru Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang melabel pihak lain dengan gelaran "bebal" dan "banggang" berhubung pengurusan ekonomi negara.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin, menyifatkan kecaman Hadi itu sebagai satu bentuk retorik murahan yang gagal membantu rakyat memahami realiti ekonomi semasa yang mencabar.

"Tindakan Hadi itu mencerminkan kegagalan pihak pembangkang untuk mengikuti perkembangan terkini dasar kerajaan dalam mendepani krisis global.

"Lebih pelik apabila beliau memuji negara lain seperti Jepun tanpa memahami konteks sebenar dasar ekonomi mereka.

"Jepun misalnya memberi subsidi secara bersasar kepada sektor tertentu, bukan subsidi pukal yang membebankan fiskal negara. Inilah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Madani," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi Awang

Danish berkata demikian ketika mengulas kenyataan presiden PAS yang sebelum ini menempelak sesetengah pemimpin yang dianggapnya gagal mengurus negara walaupun memiliki pelbagai sumber.

Dalam hantaran terbarunya di media sosial, Abdul Hadi memulakan kritikan itu dengan memetik kisah Nabi Yusuf AS yang memberikan khidmat mengelola Mesir menghadapi dugaan yang panjang.

Katanya, Nabi Yusuf enggan bersenang-lenang berdampingan dengan raja Mesir ketika itu, justeru dia menawarkan diri untuk berkhidmat kepada negara bagi menyelamatkan rakyat yang berdepan dengan krisis ekonomi.

"Bukan (tidak) semena-mena meminta jawatan, tetapi (Yusuf) tidak mahu mendapat kesenangan hidup secara percuma," katanya.

Bekas duta khas bertaraf menteri itu juga berpendapat, kemelut yang dihadapi rakyat bukannya berpunca daripada kekurangan hasil.

Sementara itu, Danish dalam nada sinis, berkata sindiran paling besar adalah apabila pihak yang lantang melabel orang lain sebagai "bebal" sebenarnya gagal mengemukakan sebarang pelan alternatif yang realistik untuk negara.

"Tiada cadangan dasar, tiada angka, tiada mekanisme hanya kata-kata keras yang kosong isi.

"Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini, negara memerlukan kepimpinan yang berfakta, bertanggungjawab, dan berani membuat keputusan, bukan sekadar suara bising yang menambah kekeliruan," katanya.

Menurutnya, kerajaan hari ini tidak sekadar "bercakap kosong", sebaliknya sedang melaksanakan reformasi struktur yang konkrit.

Danish berkata, kerajaan juga telah menggerakkan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaras tindakan segera menghadapi tekanan ekonomi global serta memastikan kestabilan harga dan rantaian bekalan.

"Ia jelas satu pandangan yang mentah dan tidak berpijak di bumi nyata. Ekonomi hari ini adalah ekonomi global yang saling berkait, bukan sistem tertutup yang boleh dikawal dengan retorik semata-mata," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS