Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, hari ini menempelak sesetengah pemimpin yang dianggapnya gagal mengurus negara walaupun memiliki pelbagai sumber yang banyak sebagai “bebal” serta “bangang.”
Dalam hantaran terbarunya di media sosial, Abdul Hadi memulakan kritikan itu dengan memetik kisah Nabi Yusuf AS yang memberikan khidmat mengelola Mesir menghadapi dugaan yang panjang.
Katanya, Nabi Yusuf enggan bersenang-lenang berdampingan dengan raja Mesir ketika itu, justeru dia menawarkan diri untuk berkhidmat kepada negara bagi menyelamatkan rakyat yang berdepan dengan krisis ekonomi.
“Bukan (tidak) semena-mena meminta jawatan, tetapi (Yusuf) tidak mahu mendapat kesenangan hidup secara percuma," katanya.
Mengulas mengenai situasi semasa, bekas duta khas bertaraf menteri itu berpendapat, kemelut yang dihadapi rakyat bukannya berpunca daripada kekurangan hasil.
“Apa yang berlaku di hadapan mata kita sekarang bukan kerana hasil tidak mencukupi, tetapi berpunca daripada mereka yang bebal, tidak amanah dan jahil terhadap agama, bahkan khianat terhadap harta negara dan berlaku zalim terhadap rakyat kerana tidak berlaku adil kepada semua kerana memberi secara terpilih mengikut penyokong, kroni dan pengampu sahaja.
“Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketidakcekapan, kekurangan ilmu serta sikap berlagak tahu segala-galanya,” kata Abdul Hadi lagi.
Kenyataan tersebut adalah yang terbaru dibuat Abdul Hadi terkait isu krisis Asia Barat yang memberi kesan kepada seluruh dunia, termasuk Malaysia, dengan kenaikan harga bahan bakar menjadi antara kemelut yang paling memberi kesan kepada orang ramai.
Iran contohi gaya Yusuf
Sebelum ini dia menegaskan tidak ada sebab mengapa Malaysia perlu menaikkan harga petrol dan diesel kerana negara ini memiliki telaga minyak sendiri, selain mempunyai sumber lain yang kaya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian menyanggah kenyataan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ulasan yang dangkal.
Beberapa pemimpin PAS kemudian tampil mempertahankan hujah dibuat Abdul Hadi dengan memberikan justifikasi masing-masing.
Menurut Abdul Hadi hari ini lagi, ada negara tertentu yang memiliki bahan bakar yang banyak sehingga harganya lebih murah berbanding air minuman, namun penguasanya berfoya-foya saja.
Mereka juga, dakwa Ahli Parlimen Marang tersebut, melaburkan kekayaan di negara kaya bagi menambah “hasil haram” termasuk melalui riba, perjudian dan hiburan yang tidak memberi faedah kepada orang miskin.
“Selain itu, terdapat bantuan yang bocor sehingga tidak sampai kepada rakyat, dan ada pula yang bersikap zalim apabila tidak diberikan kepada yang berhak kerana dianggap musuh,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut pihak yang dikritiknya itu.

Dalam hantaran sama Abdul Hadi turut memuji Iran kerana menganggap negara terbabit mengambil teladan daripada cara pengurusan Nabi Yusuf seperti membuat persediaan untuk rakyatnya terlebih dulu.
Aspek yang dijaga Tehran, pada pandangan ahli politik berusia lebih 78 tahun itu, termasuk dari aspek keselamatan dan pertahanan negara, makanan dan kemudahan lain untuk rakyat.
Dia juga memuji Jepun kerana memberikan subsidi yang mencukupi kepada para petani selain menyediakan kemudahan untuk rakyat menggunakan hasil sumber lain “yang banyak.”
Pada masa sama, kata Abdul Hadi, ada negara yang boros berbelanja untuk para pemimpinnya dan mengetepikan rakyat yang tidak berkemampuan.

Mereka itu, tambahnya, tidak mengawal harga barangan yang lebih perlu kepada rakyat miskin seperti diesel yang banyak digunakan oleh petani, nelayan, para pekerja pembangunan, selain barangan keperluan lain termasuk makanan, pakaian, kediaman dan pengangkutan.
Sebaliknya, dakwa Abdul Hadi, pemimpin terbabit hanya menjaga kepentingan mereka yang berada, mempunyai harta dan berpangkat.
Tambah Abdul Hadi, Islam menegaskan kepentingan aspek perbelanjaan dan tadbir urus yang baik untuk memudahkan rakyat yang memerlukan, bukan sebaliknya.
“Harta negara diambil dengan adil dan perlu dibahagikan dengan adil juga, (Islam) mewajibkan para pemerintah yang berakhlak dan berilmu, bukan pemimpin yang bebal atau bangang,” katanya.
