MCA menggesa kerajaan mempercepat kelulusan permohonan kuota subsidi bahan api bagi pengusaha bas sekolah di seluruh negara bagi mengelakkan kesan berantai yang akhirnya boleh menjejaskan rakyat.
Naib Presidennya, Wee Jeck Seng berkata pelaksanaan yang proaktif dan tegas diperlukan untuk meringankan beban rakyat, sambil menegaskan orang ramai tidak mahu mendengar alasan sebaliknya menuntut tindakan sebenar.
Dia berkata Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia baru-baru ini memberi amaran bahawa jika isu bahan api tidak diselesaikan dalam bulan ini, tambang mungkin dinaikkan secara menyeluruh bermula bulan depan.
Tambahnya, persatuan itu turut memaklumkan bahawa permohonan bagi kuota subsidi bulanan sebanyak 800 liter di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Malah dalam kalangan yang telah diluluskan, masih ada pengusaha yang belum menerima kad fleet mereka.
“Perlu ditegaskan bahawa pengusaha tidak menaikkan tambang secara tidak munasabah; sebaliknya mereka bergelut dengan tekanan operasi yang semakin meningkat dalam sistem sedia ada.
"Persatuan telah menjelaskan bahawa pengusaha berdepan cabaran besar di bawah mekanisme SKPS, khususnya akibat kelewatan dalam memuktamadkan kuota subsidi,” katanya pada satu kenyataan.
Ahli parlimen Tanjung Piai itu turut menegaskan kerajaan tidak boleh meminta rakyat bersyukur dan menanggung kesusahan, sedangkan pada masa sama mengabaikan suara di peringkat akar umbi.

“Isu ini bukan sahaja menjejaskan daya maju operasi pengusaha, tetapi juga mencerminkan jurang antara pelaksanaan dasar dan realiti yang dihadapi rakyat.
"Walaupun dasar dikatakan melindungi sektor kritikal, dalam praktiknya pengusaha bas sekolah terpaksa berdepan sendiri dengan permohonan, kelewatan, susulan dan ketidaktentuan.
“Kita mungkin tidak dapat mengawal perkembangan global atau mempengaruhi harga tenaga, namun kerajaan mesti bertindak terhadap perkara dalam kawalannya untuk mengurangkan beban rakyat ketika krisis ini. Oleh itu, kerajaan perlu bertindak segera dan berhenti memberi alasan,” tambahnya.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata kos operasi meningkat mendadak dan pengusaha tiada pilihan selain menaikkan tambang mulai bulan depan jika isu itu tidak diselesaikan.

Dia berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan perlu mencari penyelesaian bagi meringankan beban peningkatan kos operasi dan tambang.
“Kami sudah menghantar surat permohonan kouta SKPS untuk bas sekolah di bawah Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia sebanyak dua kali pada Januari dan Mac lalu, namun masih belum ada jawapan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Katanya, kuota yang dimohon termasuk subsidi bahan api bagi kenderaan sekolah dan pemandu, dianggarkan sebanyak 800 liter.
“Namun, ada antara pengusaha bas sekolah yang sudah diluluskan untuk menerima subsidi belum dapat kad fleet sehingga kini.
"Ada yang terpaksa menggunakan kuota Budi95 sendiri bagi mengisi bahan api susulan tiada bantuan sewajarnya diberikan kepada mereka," katanya lagi.
