mk-logo
Berita
‘Jorjet Myla ditangkap menghasut’ - Wan Saiful kecam kerajaan

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mengkritik tindakan menyiasat seorang wanita dikenali sebagai “Jorjet Myla” di bawah Akta Hasutan 1948, dengan menyifatkannya sebagai perkembangan yang membimbangkan terhadap kebebasan bersuara.

Menurutnya, penahanan itu berlaku hanya seminggu selepas tiga anak muda ditahan kerana memprotes Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

“Malaysia bukan negara komunis sehingga rakyat tidak boleh mengkritik kerajaan.

”Penahanan ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai had antara siasatan, kritikan politik dan kebebasan bersuara," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Jorjet Myla dilaporkan ditahan dan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, dipercayai susulan kenyataannya yang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok.

Hantaran tular di media sosial turut mendakwa wanita berkenaan direman selama tiga hari. Turut dilaporkan bahawa dia tidak diwakili peguam ketika proses reman dijalankan.

Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan bahawa kritikan politik yang sah tidak boleh disamakan dengan fitnah dan perlu ditangani secara adil tanpa menjejaskan prinsip demokrasi.

"Ramai pemimpin kerajaan hari ini pernah lantang bercakap mengenai kezaliman Akta Hasutan.

Gambar fail, bantahan terhadap Akta Hasutan 1948.

“Hari ini mereka gembira mempergunakan Akta Hasutan terhadap pengkritik mereka.

"Inilah sikap hipokrasi dan penipu terbuka yang mereka amalkan. Kerajaan Madani hidup atas pembohongan," katanya mendakwa tindakan berkenaan bertujuan mewujudkan suasana takut dalam kalangan rakyat.

Tegasnya perkembangan itu tidak selari dengan semangat pembaharuan institusi serta janji reformasi yang sering dilaungkan sebelum ini.

"Saya menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan segera berhubung penahanan ini serta memastikan hak individu yang disiasat dihormati sepenuhnya," katanya lagi.

Setakat ini, polis belum memberikan maklum balas mengenai penahanan serta butiran lanjut berkaitan kes tersebut.

Akaun TikTok milik Myla juga tidak lagi dapat diakses namun salinan video yang didakwa menjadi punca siasatan itu terus tersebar meluas.

Dalam video berkenaan, Myla dilaporkan melontarkan kritikan terhadap Anwar dengan menuduh perdana menteri sering menyalahkan pihak lain atas kelemahan serta prestasi yang disifatkan tidak memberangsangkan.

Dia juga mendakwa Anwar masih berperanan seperti ketua pembangkang dan mencadangkan bahawa presiden PKR itu mungkin lebih selesa berada di luar kerajaan.

Penahanan Myla mencetuskan gelombang kritikan daripada PN serta penyokongnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS