Ahli Parlimen Melaka, Khoo Poay Tiong membalas kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang membodohkan cadangannya agar kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) atas alasan krisis ekonomi dengan satu pepatah Melayu.
Dalam satu kenyataan, pemimpin DAP itu mengingatkan Akmal supaya tidak perlu bersikap sombong atau memberi syarahan kepada orang lain tentang “maruah”.
“Jaga diri sendiri terlebih dahulu.
“Pepatah Melayu ada mengatakan ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri,’ katanya.
Semalam, Akmal menegaskan bahawa krisis ekonomi bukan alasan munasabah untuk mengisytiharkan darurat sambil membandingkan situasi tersebut dengan era pentadbiran BN sebelum ini.
"Bila MP DAP cadang nak isytihar darurat, maknanya kamu yang sebenarnya tiada kebolehan dan kemampuan untuk mentadbir negara ini dengan baik!
“Maka yang perlu rakyat isytihar adalah humban kamu dari menjadi kerajaan. Bodoh!" kata Akmal.
Khoo sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan negeri Melaka supaya mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Cadangan itu dibuat bagi menangguhkan pilihan raya negeri ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan krisis bahan api.
Khoo dalam kenyataannya hari ini terus mempersoalkan kewajaran mengadakan pilihan raya negeri seawal Jun atau Julai ini memandangkan dunia sedang berdepan krisis geopolitik yang serius.
Menurut Khoo, keutamaan harus diberikan kepada isu keselamatan tenaga dan kenaikan kos makanan berbanding mengalihkan sumber untuk tujuan pilihan raya.
"Isu utama dan persoalan yang perlu dijawab ialah: adakah sekarang masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya?
“Jelas sekali jawapannya adalah tidak, kerana terdapat keutamaan lain yang lebih mendesak,” katanya sambil menambah dunia kini sedang berdepan dengan krisis geopolitik yang serius, yang telah membawa kepada masalah bekalan tenaga dan bahan api, malah berpotensi menyebabkan kenaikan kos makanan dalam masa terdekat.
Tegaskanya, pilihan raya negeri Melaka sebenarnya hanya wajib diadakan selewat-lewatnya pada Februari tahun hasdapan, sekali gus memberikan ruang masa yang mencukupi untuk menunggu kestabilan global.
“Cadangan untuk mengisytiharkan darurat hanyalah salah satu pendekatan yang saya kemukakan, berdasarkan pengalaman ketika pandemik Covid-19.
“Jika ia tidak sesuai, kita boleh berbahas dan mencari alternatif lain — contohnya menunggu sehingga keadaan global kembali stabil sebelum mengadakan pilihan raya,” katanya lagi.
Selain Akmal, bekas setiausaha sulit kanan kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad juga membidas Khoo yang menurutnya perisytiharaan darurat oleh perdana menteri ketika itu adalah kerana wabak penyakit dan soal keselamatan untuk untuk menjaga nyawa rakyat.
“Tetapi (Khoo) kerana takut kalau PRN diadakan ketika harga minyak mahal, parti kerajaan akan kalah. Yang nak dijaga ialah hayat parti kerajaan,” katanya.
