Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Strategi 'island hopping' baru Washington di Asia Tenggara

ULASAN | Pada 13 April lalu Washington dan Jakarta mengumumkan secara rasmi penubuhan Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama (MDCP) untuk mewujudkan kerjasama pertahanan baru kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.

Perjanjian itu adalah selaras dengan komitmen bersama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.

Perjanjian dimeterai di Washington DC selepas delegasi Kementerian Pertahanan Indonesia yang diketuai menteri pertahanannya, Sjafrie Sjamsoeddin, mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, di Pentagon.

Namun apa yang kita saksikan melalui MDCP itu bukanlah sekadar perjanjian pertahanan biasa. Ia adalah pembinaan koridor logistik ketenteraan yang boleh diibaratkan sebagai lompatan pulau (island hopping) versi baru.

Dalam Perang Dunia Kedua, AS menggunakan strategi itu untuk 'melompat' dari satu pulau ke pulau yang lain di Pasifik bagi mengelak kubu kuat Jepun sebelum akhirnya sampai di negara musuh mereka.

Kini strategi itu diadaptasi semula, cuma bukan dengan mendaratkan tentera, sebaliknya dengan menguasai ruang udara di atas pulau-pulau strategik.

Lompatannya bukan dari pulau ke pulau sebaliknya dari pangkalan udara ke pangkalan udara lain: Diego Garcia di Lautan Hindi kemudian Sumatera, Jawa, Bali, Lombok, lalu terus ke Australia utara dan akhirnya ke Laut China Selatan.

Dalam versi baru ini, Indonesia adalah batu loncatan yang paling kritikal. Tanpa akses penuh ke ruang udara Nusantara, rantai lompatan itu terputus.

Realiti lebih keras

Pesawat pengebom dan pengintip AS dari Diego Garcia tidak dapat sampai ke Australia dengan pantas dan pesawat dari Australia pula tidak dapat memasuki Laut China Selatan tanpa membuang masa berjam-jam memutari Timor atau Papua.

MDCP yang ditandatangani baru-baru ini - jika disertai dengan blanket overflight yang dibocorkan - akan mengubah Indonesia daripada sekadar rakan kerjasama kepada landasan pacu bergerak bagi projek membina kekuatan AS di Asia Tenggara.

Secara semiotik, bendera AS yang berkibar di pangkalan Indonesia bukan lagi simbol latihan bersama sebaliknya menjadi penegasan bahawa ruang udara negara berdaulat telah bertukar menjadi koridor transit untuk kepentingan kuasa besar.

Dari perspektif geonaratif, AS sedang menulis semula peta strategik rantau ini dengan satu naratif baru: Asia Tenggara ialah pintu belakang kepada kuasa China, dan Indonesia adalah kunci kepada pintu itu."

Naratif itu disebarkan melalui dokumen bocor, kenyataan pegawai kanan dan perjanjian seperti MDCP.

Ia bertujuan untuk meyakinkan dunia - terutamanya Asean - bahawa kehadiran AS di ruang udara Indonesia adalah demi "kestabilan" dan "keamanan".

Namun di sebalik naratif itu, tersembunyi realiti yang lebih keras: siapa yang menguasai ruang udara, dialah yang menguasai pergerakan tentera, logistik dan akhirnya hasil peperangan.

Di sinilah Malaysia memegang peranan yang tidak kurang pentingnya.

Jika Indonesia adalah batu loncatan timur maka Malaysia adalah pemegang kunci titik sendat (choke point) paling strategik di dunia iaitu Selat Melaka.

Selat Melaka merupakan urat nadi perdagangan global. Lebih banyak minyak mentah dan dagangan kontena melalui laluan tersebut berbanding Selat Hormuz.

Namun dalam strategi pelompatan pulau versi baru AS, Selat Melaka belum lagi dijejaki.

Sekeping teka-teki politik

Kapal perang dan pesawat AS sudah pun kerap hadir di perairan Singapura dan Selat Lombok tetapi kawalan penuh ke atas laluan barat Asia Tenggara masih memerlukan sama ada akses ruang udara di Indonesia atau di Singapura.

Jika Jakarta akhirnya memberikan akses penuh kepada AS maka tekanan diplomatik terhadap Malaysia akan meningkat secara mendadak.

Secara semiotik, Malaysia akan dilihat sebagai "gelanggang terakhir" yang belum ditakluki dan dalam geonaratif kuasa besar. Tiada ruang untuk berkecuali apabila dua gergasi sedang bersemuka.

Ia adalah tekanan kepada kedaulatan negara dan dasar luar Malaysia yang tidak berpihak serta cabaran kepada dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).

Kesimpulannya tanpa akses ke ruang udara Indonesia, koridor logistik ketenteraan AS dari Diego Garcia ke Australia dan seterusnya ke Laut China Selatan tidak akan lengkap.

Indonesia adalah batu loncatan dan penghubung lebuh raya udara yang menyambungkan dua lautan ini.

Tetapi jangan lupa: batu loncatan yang paling barat mengawal pintu masuk dari Lautan Hindi ke Pasifik melalui Selat Melaka ialah Malaysia.

Dalam permainan lompatan pulau versi baru ini, setiap pulau, setiap ruang udara, setiap selat adalah sekeping teka-teki. Apabila Indonesia sudah berada di dalam peta AS, maka pandangan dunia akan beralih ke utara sedikit ke langit Semenanjung Malaysia.

Persoalannya: sudahkah kita sedar bahawa kedaulatan bukan hanya soal darat dan laut tetapi juga soal siapa yang dibenarkan terbang di atas kepala kita tanpa izin?

Hal itu kerana dalam geonaratif kuasa besar, langit yang tidak dijaga adalah langit yang dianugerahkan.


ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah seorang pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS