Seorang bekas ahli parlimen menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat cadangan satu sistem digital baru bagi menguruskan pekerja asing, yang menurut sumber industri akan dinamakan The Universal Recruitment Advance Platform (Turap).
Charles Santiago juga mempersoalkan mengapa Bestinet Sdn Bhd dipertimbangkan sebagai pengendali untuk sistem baru itu, sedangkan syarikat itu kini menguruskan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sedia ada.
"Adakah terdapat bidaan lain? Adakah terdapat tender terbuka? Adakah tiada firma lain yang kompeten?"
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mesti menyiasat proses perolehan ini," kata Charles dalam satu kenyataan semalam.
Pada Khamis, Bernama melaporkan Menteri Sumber Manusia R Ramanan menafikan laporan Bloomberg mengenai sistem Turap, yang menurut sumber bertujuan untuk menambah baik ekosistem pengambilan pekerja dan membenarkan majikan menggaji pekerja secara langsung.
Menyifatkan laporan itu sebagai tidak disahkan dan tidak tepat, Ramanan mendakwa ia mengandungi butiran yang tidak diketahui dirinya sendiri, selaku menteri yang bertanggungjawab untuk membentangkan sebarang cadangan kepada kabinet.

"Saya terkejut kerana mereka seolah-olah lebih mengetahui tentang sistem yang dicadangkan daripada saya. Saya belum membentangkan apa-apa kepada kabinet, namun mereka dapat menjelaskannya secara terperinci," katanya.
Ramanan kemudian dilapor berkata bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan Bestinet membangunkan sistem baru itu, tetapi ia masih belum mendapat kelulusan kerajaan.
"Kami masih dalam perbincangan. Selepas itu, saya akan membentangkan kertas kerja kepada kabinet. Pada masa ini, saya tidak melihat sebarang masalah dengan menerima Bestinet sebagai pembangun sistem," kata Ramanan.
Kenyataan bercanggah
Bagaimanapun, Charles mempersoalkan kenyataan bercanggah Ramanan mengenai perkara itu pada hari yang sama.
"Menteri itu memberitahu The Star (Khamis) bahawa laporan Bloomberg mengenai sistem pengambilan migran baru, Turap, yang dibangunkan oleh Bestinet adalah ‘tidak disahkan dan tidak tepat’.
"Menjelang petang, menteri itu berubah fikiran dan memberitahu NST bahawa beliau tidak melihat sebarang masalah untuk menerima pakainya. Dua pendirian berbeza oleh menteri yang sama pada hari yang sama.
"Adakah ini tak tetap pendirian atau hipokrasi?" soal bekas ahli parlimen DAP itu.

Charles juga mempersoalkan mengapa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menguruskan sistem pengambilan pekerja asing sedangkan ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Dan siapa yang akan membayarnya? Adakah kerajaan, majikan, atau akhirnya pekerja sekali lagi?" soalnya.
Malaysiakini telah menghubungi Bestinet dan Ramanan untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, Adun Batu Uban, A Kumaresan tampil mempertahankan Ramanan, dengan mengatakan menteri dengan jelas mengatakan tiada apa yang telah diputuskan lagi.
"Untuk meluruskan kenyataan menteri itu, yang dibuat di hadapan media tempatan dan antarabangsa, adalah jelas.
"Kementerian sedang menyemak semua cadangan yang dikemukakan, termasuk satu daripada Bestinet. Menteri itu tidak pernah menunjukkan penerimaan atau sokongan terhadap sebarang cadangan tertentu.
"Malangnya, sesetengah individu nampaknya telah membuat kesimpulan pramatang dan cuba membingkai naratif dengan cara yang mengelirukan, walaupun tiada pengesahan sedemikian," kata ahli majlis kepimpinan pusat PKR itu.
Siasatan polis
Sebelum ini polis menyiasat Malaysiakini berhubung satu artikel berkaitan Turap pada 27 Mac, dengan salah seorang wartawannya dipanggil untuk memberi kenyataan.

Dalam satu surat rasmi, ibu pejabat polis daerah Sepang memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana pendedahan maklumat tanpa kebenaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penyalahgunaan rangkaian sosial.
Polis turut menyiasat wartawan kanan B Nantha Kumar. Kenyataannya dirakam selama satu setengah jam.
Pada bulan Feb, Bestinet dan pengasasnya, Aminul Islam Abdul Nor, menyaman 10 saluran media dan individu, termasuk Malaysiakini bagi menuntut ganti rugi lebih RM1 bilion.
Ini adalah susulan laporan Bloomberg bertajuk “Semua orang terima bahagian masing-masing, dan pekerja asing membayar harganya”, yang diterbitkan pada 23 Jan, dan laporan berikutnya yang mengulangi dakwaannya dan mengulas mengenai isu tersebut.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, Bestinet dan Aminul mendakwa kenyataan yang dipertikaikan itu, antara lain, menggambarkan mereka terlibat dalam pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, amalan rasuah, sengaja menafikan akses kerajaan kepada FWCMS, dan telah memperkayakan diri mereka sendiri dengan mengorbankan pekerja asing.
