Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo Tangkap Azam: Bersih yakin ramai, penganalisis jangka hambar

Nota editor: Ralat petikan sumber yang tanpa sengaja tertukar telah dibetulkan.

KEMASKINI | Bersih menjangkakan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadual pada 25 April ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan mendapat sambutan hangat dan menarik kehadiran lebih ramai peserta berbanding sebelum ini.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki semakin mendapat perhatian.

“Ia bukan isu baru tetapi isu lama yang telah dibahaskan dan dibantah rakyat termasuk oleh pemimpin dan penyokong parti politik khususnya Pakatan Harapan.

“Isu ini lebih mendapat tempat susulan pendedahan demi pendedahan yang menunjukkan ketempangan SPRM. Kegagalan kerajaan bertindak menambah kemarahan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

Sekretariat Tangkap Azam Baki sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan itu bagi mendesak siasatan menyeluruh berhubung isu pemilikan saham Azam serta dakwaan salah laku berkaitan “mafia korporat”.

Sekretariat yang disokong 32 entiti termasuk Bersih itu mendakwa isu berkenaan masih belum menerima penjelasan tuntas daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kerajaan Madani.

Sementara itu aktivis Mandiri, Ahsanul Akmal pula berkata himpunan itu merupakan siri ketiga demonstrasi dengan jangkaan peningkatan peserta, hasil jelajah ceramah dan kempen mobilisasi gabungan mahasiswa, NGO dan parti politik.

Dia juga berpandangan penahanan tiga aktivis sebelum ini boleh meningkatkan kemarahan rakyat dan menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk turun ke jalan raya.

“Rakyat akan kembali ke jalanan dengan semangat perlawanan seperti era kejatuhan Barisan Nasional,” katanya.

Penganalisis politik, Prof James Chin dari Institut Pengajian Asia, Universiti Tasmania, (gambar bawah) turut berkongsi pandangan yang sama dengan Mandiri.

James menjangkakan himpunan #TangkapAzamBaki hujung minggu ini akan menyaksikan kehadiran lebih besar, susulan penyertaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Menurutnya, kehadiran Rafizi buat kali pertama dalam perhimpunan itu berkemungkinan menarik lebih ramai penyokong untuk turut serta.

“Saya menjangka mungkin beberapa ribu orang akan hadir, khususnya dalam kalangan penyokong Rafizi yang mahu menunjukkan sokongan,” katanya.

James turut berpandangan bahawa isu melibatkan Azam kini semakin memuncak dan memberi tekanan kepada kepimpinan kerajaan.

Dia berpendapat situasi tersebut meletakkan Anwar dalam kedudukan yang sukar.

“Nampaknya semakin jelas bahawa beliau tidak akan mendapat pembaharuan kontrak,” katanya merujuk kepada kedudukan Azam.

Menurutnya, siri protes dan perhimpunan yang dianjurkan ketika ini dilihat bertujuan memberi tekanan agar tiada pelantikan semula dibuat, termasuk kemungkinan pelantikan ke jawatan lain seperti senator.

Pada masa sama, dia berpandangan bahawa keputusan yang bakal dibuat kerajaan dalam isu tersebut akan memberi kesan kepada persepsi awam terhadap kepimpinan negara.

“Walaupun beliau pernah berjasa, realitinya individu ini dilihat bermasalah oleh sebahagian pihak dan dianggap terlalu bersifat politik,” katanya.

‘Demo sebelum ini gagal tarik kehadiran besar’

Bagaimanapun, Prof Madya Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur berkata kempen “Tangkap Azam Baki” bukan baru dan perhimpunan sebelum ini di sekitar Sogo, Kuala Lumpur gagal menarik kehadiran besar.

Katanya, isu pemilikan saham Azam telah pun dijelaskan dan ia lebih berkait dengan urusan perkhidmatan awam dan bukan skandal atau jenayah besar.

“Rakyat kini lebih memahami dan memberi perhatian kepada isu-isu yang lebih besar seperti konflik di Gaza, selain mengutamakan kestabilan politik dan ekonomi dalam negara.

“Namun terdapat pihak tertentu yang dilihat bersungguh-sungguh mengetengahkan isu Azam Baki ini, seolah-olah mempunyai sasaran lain, termasuk kepada Perdana Menteri dan kerajaan semasa,” katanya.

Katanya, kestabilan politik mengurangkan kecenderungan rakyat untuk menyertai demonstrasi.

Mazlan berkata isu Azam Baki berkait dengan protokol perkhidmatan awam.

“Jika dia melanggar peraturan akan tertakluk kepada siasatan dalaman oleh JPA.

“Jadi adalah jelas bahawa perkara yang dikait dengan Azam Baki itu adalah perkara yang berkait dengan perkhidmatan awam.

“Ia bukan isu jenayah, bukan masalah penyelewengan menyebabkan kerugian kepada negara,” jelasnya.

Mazlan turut berpandangan sekiranya demonstari itu berjaya menarik kehadiran ramai peserta, ia kemungkinan disebabkan penganjur berjaya memobilisasi orang ramai dan bukan gerakan spontan rakyat.

“Sekarang rakyat melihat negara dan politik stabil dan PMX berjaya bawa kestabilan, kemajuan, pelaburan yang begitu bagus di peringkat nasional.

“Jadi rakyat rasa tak mahu layan (demonstrasi seumpama ini) yang pada mereka buang masa. Mereka tidak mahu kepada keadaan yang keruh dan kekacauan kerana rakyat mahu kestabilan.

“Jadi kalau ada pun yang hadir (pada himpunan tersebut) mungkin itu adalah satu kerahan, bukan gelombang kesedaran rakyat itu sendiri,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS