PANDUANKINI | Satu pertikaian besar diraja sedang berlaku di Negeri Sembilan apabila para undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
Walaupun para undang memang mempunyai kuasa sedemikian, keadaan menjadi rumit apabila salah seorang daripada empat undang — dikenali sebagai Undang Yang Empat — sendiri telah disingkirkan beberapa hari sebelum itu.
Keputusan akhir dijangka bergantung kepada bagaimana perlembagaan negeri ditafsirkan oleh majlis diraja.
Berikut pecahan peristiwa yang berlaku.
Siapa Undang Yang Empat?
Undang Yang Empat merupakan ketua adat Minangkabau bagi empat luak di Negeri Sembilan iaitu Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau.
Keempat-empat mereka, berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan, bertanggungjawab memilih Yang di-Pertuan Besar daripada keturunan Raja Radin dan Raja Lenggang.

Perlembagaan negeri itu juga memberi mereka kuasa untuk memaksa Yang di-Pertuan Besar turun takhta.
Mereka berempat bersama Yang di-Pertuan Besar dan pembesar lain, menjadi anggota Dewan Keadilan dan Undang yang berfungsi sebagai badan penasihat dalam hal adat serta pelantikan dan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar.
Sehingga 16 April, empat undang tersebut ialah Mubarak Thahak (Sungai Ujong), Maarof Mat Rashad (Jelebu), Muhammad Abdullah (Johol) dan Abdul Rahim Yasin (Rembau).
Bagaimana konflik ini bermula?
Berdasarkan laporan media dan kenyataan, konflik ini dipercayai bermula pada 13 Mei 2025 apabila pembesar di Sungai Ujong bertindak menyingkirkan Mubarak sebagai undang kawasan itu.
Terdapat 33 alasan dikemukakan, termasuk dakwaan pelanggaran undang-undang syarak dan adat, dengan laporan dibuat kepada polis dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Setakat ini, alasan tersebut belum didedahkan kepada umum.
Penyokong undang Sungai Ujong itu pula mendakwa siasatan pihak berkuasa tidak menemui sebarang salah laku dan Mubarak menjadi mangsa persepsi negatif.

Namun begitu, pada 17 April tahun ini, satu mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang diadakan, dengan pertuduhan terhadap Mubarak dibentangkan kepada Tuanku Muhriz.
Tuanku Muhriz serta anggota Dewan lain dilaporkan menerima penyingkiran Mubarak sebagai Undang Sungai Ujong, berkuat kuasa 13 Mei tahun lalu.
Tidak jelas sama ada keempat-empat undang hadir dalam mesyuarat tersebut.
Perkara 16(3) Perlembagaan Negeri menyatakan bahawa sebarang keputusan majlis berkaitan pelantikan, pewarisan atau penyingkiran undang adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Bagaimana reaksi Mubarak?
Pada malam 19 April, Mubarak bersama tiga undang lain mengadakan pertemuan dan mengeluarkan dua perisytiharan.
Pertama, mereka sebulat suara bersetuju menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Langkah itu dibuat selepas mereka didakwa menjalankan siasatan sendiri terhadap Tuanku Muhriz pada 5 Mac, berhubung dakwaan pelanggaran dalam pelaksanaan tugas diraja. Mereka menyifatkan pelanggaran tersebut dilakukan secara sengaja dan mencemarkan institusi diraja.

Perisytiharan kedua pula menetapkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baru berkuat kuasa serta-merta.
Allahyarham Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, bapa kepada Tunku Nadzaruddin, merupakan Yang di-Pertuan Besar sebelum Tuanku Muhriz.
Pembacaan perisytiharan itu disiarkan secara langsung.
Apakah undang mempunyai kuasa tersebut?
Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan bahawa Undang Yang Empat boleh menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar sekiranya baginda melakukan perbuatan yang menjejaskan kesucian, kehormatan dan martabat jawatan tersebut.
Pada awal pagi tadi, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dilaporkan berkata perisytiharan yang dibacakan oleh Mubarak tidak sah kerana dia telah disingkirkan daripada jawatan.
Namun, menteri besar dilihat tidak menyentuh fakta bahawa tiga lagi undang turut bersetuju untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar ketika ini.

Perkara 29 menyatakan bahawa keputusan undang dianggap sah jika dilaksanakan oleh sekurang-kurangnya tiga undang, atau sejumlah undang yang masih hidup ketika kuasa tersebut digunakan.
Peruntukan ini meliputi kuasa melantik dan menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar.
Satu lagi isu yang mungkin timbul ialah status Abdul Rahim sebagai Undang Rembau, yang didakwa belum diwartakan walaupun telah dilantik dua tahun lalu.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini secara bebas setakat ini.
Apa langkah seterusnya?
Isu ini dijangka dirujuk sama ada oleh Tuanku Muhriz atau Menteri Besar Aminuddin Harun kepada Dewan Keadilan dan Undang.
Walaupun Perkara 29 seolah-olah memberi kemuktamadan kepada keputusan undang pada 19 April, persoalan utama ialah bagaimana Perkara 16(3) ditafsirkan.

Perkara 16(3) menyatakan: nasihat Dewan berhubung soal adat Melayu di mana-mana bahagian negeri, termasuk berkaitan pelantikan, pewarisan atau penyingkiran pembesar, adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Secara sepintas lalu, peruntukan itu tidak secara jelas merangkumi pelantikan atau penyingkiran Yang di-Pertuan Besar.
Namun, pihak yang menyokong Tuanku Muhriz dijangka berhujah bahawa pelantikan dan penyingkiran Yang di-Pertuan Besar termasuk dalam bidang adat Melayu yang berada di bawah kuasa majlis tersebut.
Malaysiakini akan terus melaporkan perkembangan lanjut isu ini.
