SURAT | Persatuan Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memandang serius dan amat prihatin terhadap pendedahan serta perkembangan semasa berkaitan gejala rasuah dan kemerosotan integriti dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.
Isu ini tidak lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil, sebaliknya menunjukkan kegagalan sistemik dalam aspek tatakelola institusi, khususnya melibatkan pengurusan tertinggi universiti yang seharusnya menjadi penjaga utama kepada prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Realitinya, terdapat petunjuk bahawa proses tadbir urus tidak sentiasa dilaksanakan dengan disiplin dan ketegasan yang sewajarnya.
Ini termasuk:
* Ketidakpatuhan kepada prosedur dan garis panduan dalam membuat keputusan strategik
* Kelemahan dalam pematuhan polisi dan peraturan
* Tahap ketelusan yang rendah dalam proses membuat keputusan
* Pengurusan konflik kepentingan yang tidak menyeluruh
* Akauntabiliti yang tidak ditegakkan secara konsisten
Apabila perkara asas itu diabaikan di peringkat tertinggi, ia secara langsung membuka ruang kepada salah guna kuasa, ketirisan dan penyelewengan yang akhirnya menyuburkan budaya rasuah dalam organisasi.
Pada masa yang sama, ia turut dipengaruhi oleh pelantikan lembaga pengarah yang tidak sepenuhnya berasaskan kompetensi, kepakaran dan integriti, sebaliknya dipengaruhi oleh pertimbangan selain merit.
Ia kemudian menjejaskan keupayaan lembaga untuk melaksanakan fungsi pengawasan secara berkesan.
Sehubungan itu, peranan wakil agensi pusat seperti Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam lembaga pengarah perlu benar-benar berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang efektif, bukannya sekadar kehadiran formal.
Buka ruang tidak adil
Wakil-wakil terbabit seharusnya bertindak secara tegas, bebas dan profesional dalam memastikan setiap keputusan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
Akibat kelemahan ini:
* Fungsi semak dan imbang menjadi kurang efektif
* Pengawasan terhadap pengurusan tertinggi menjadi longgar
* Keberkesanan polisi dan garis panduan tidak dipastikan melalui pemantauan yang tegas
* Risiko salah guna kuasa dan ketirisan meningkat
Lebih membimbangkan, persoalan turut timbul mengenai sejauh mana jawatankuasa audit dalaman serta jawatankuasa governans, risiko dan integriti benar-benar berfungsi secara bebas, profesional dan berkesan dalam mengesan, melaporkan serta memastikan tindakan susulan diambil terhadap sebarang ketidakpatuhan.
Sekiranya terdapat kes pecah amanah atau salah laku yang telah sampai ke pengetahuan lembaga pengarah universiti namun tidak disusuli dengan tindakan yang tegas dan telus, maka keadaan itu bukan saja mencetuskan persepsi perlindungan terhadap salah laku, malah membuka ruang kepada ketidakadilan institusi.
Dalam situasi sedemikian, campur tangan agensi penguatkuasaan luar menjadi satu keperluan bagi memastikan akauntabiliti ditegakkan.
Kelemahan ini turut diperburukkan oleh:
* Polisi yang tidak dilaksanakan secara konsisten atau tidak cukup jelas
* Mekanisme audit dan pemantauan yang tidak cukup bebas atau kurang proaktif
* Tindakan susulan terhadap penemuan audit yang tidak tegas
Ia mewujudkan persekitaran yang membolehkan salah laku berulang tanpa pengesanan atau pembetulan yang berkesan.
Kepimpinan tertinggi seharusnya menetapkan tone from the top.
Namun, sekiranya integriti tidak ditunjukkan secara jelas di peringkat ini, keseluruhan ekosistem institusi akan terkesan termasuk budaya kerja warga universiti serta pembentukan nilai dalam kalangan pelajar.
Contoh tertinggi junjung integriti
Persatuan Alumni UMPSA berpandangan bahawa keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan dengan segera, antaranya:
* Memastikan semua keputusan dan pelantikan di peringkat tertinggi mematuhi proses yang telus dan berasaskan peraturan
* Melaksanakan pelantikan lembaga pengarah berteraskan merit, kompetensi dan integriti
* Memperkukuh peranan wakil MoF dan KPT sebagai mekanisme semak dan imbang yang efektif
* Memastikan jawatankuasa audit serta jawatankuasa governans, risiko dan integriti berfungsi secara bebas dan berautoriti
* Memperkukuh mekanisme audit, pemantauan dan penguatkuasaan secara bebas dan berkesan
* Meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti dalam semua aspek pengurusan
* Memastikan pengurusan konflik kepentingan dilaksanakan secara tegas dan berdisiplin
* Menjamin perlindungan kepada pemberi maklumat
* Membudayakan integriti sebagai asas kepimpinan, bukan sekadar retorik
IPTA adalah institusi amanah negara.
Kegagalan dalam tatakelola bukan sahaja menjejaskan reputasi institusi, malah memberi implikasi besar kepada masa depan generasi dan tahap keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
Institusi ilmu seharusnya menjadi contoh tertinggi dalam menjunjung integriti merentas semua agensi dan jabatan kerajaan.
Kegagalan menjaga amanah ini berisiko mencetuskan kesan rantaian yang boleh menjejaskan integriti sistem negara secara keseluruhan.
Integriti dalam pendidikan tinggi bukan pilihan, ia adalah keperluan asas kepada kelangsungan sistem negara.
Dan pembaharuan tidak boleh lagi ditangguhkan.
SYED MOHAMAD HAMZAH AL-JUNID ialah Presiden Persatuan Alumni UMPSA.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
