Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mengingatkan kegagalan merombak struktur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berisiko mengekalkan budaya penyalahgunaan kuasa, termasuk kemungkinan agensi itu terus dilihat sebagai ‘senjata’ politik.
Rafizi memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menegaskan jika Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dikekalkan tanpa perubahan sistem, situasi sama boleh berulang.
"Bagi menunjukkan kesetiaannya kepada sesiapa sahaja PM yang baru jika dia (Azam Baki) mahu kekal dalam jawatannya, itu bermakna dia perlu memburu musuh PM baru tersebut.
"Dalam kes Datuk Seri Anwar, apabila beliau kini begitu terikat dengan mempertahankan Tan Sri Azam Baki, jadi, mereka terpaksa mempertahankan satu sama lain.

"Jika begitu berlaku, suatu hari nanti, tukar perdana menteri lain, dan Azam Baki masih ada, maka dia perlu melalui seluruh proses lagi, untuk buktikan kepercayaan dia kepada guru baru (PM baru).
"Maka, perdana menteri baru itu akan kata (kepada Azam Baki) kalau dulu kamu kejar aku, sekarang kamu pergi kejar Anwar," katanya kepada pemberita pada jelajah ceramah Himpunan Tangkap Azam Baki di Kuala Lumpur, malam tadi.
Kata Rafizi lagi, keadaan itu boleh membentuk persepsi siasatan tertentu pada masa ini hanya tertumpu kepada musuh politik pihak berkuasa.
Untuk rekod, sekretariat Tangkap Azam Baki sebelum ini merancang perhimpunan bagi mendesak siasatan menyeluruh berhubung isu pemilikan saham Azam serta dakwaan salah laku melibatkan apa yang digelar “mafia korporat”.

Sekretariat yang disokong 32 NGO termasuk Bersih itu mendakwa isu berkenaan belum menerima penjelasan menyeluruh daripada kerajaan.
Sebelum ini, Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan turut mengkritik pendekatan demonstrasi yang disifatkannya sebagai "penakut", sambil menggesa orang ramai menunjukkan keberanian dalam protes Tangkap Azam Baki pada 25 April ini.
Perhimpunan di Dataran Merdeka itu, katanya, bertujuan menuntut peletakan jawatan Azam susulan kontroversi pegangan saham yang didakwa melebihi had bagi penjawat awam serta tuduhan bersekongkol dengan pihak berkepentingan korporat.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan tuntutan tersebut tidak terhad kepada individu semata-mata, sebaliknya menyentuh soal integriti institusi.

"Sebenarnya, ia bukan jasadnya. Ia bukan mengenai Azam Baki semata-mata sebagai seorang individu.
“Kebimbangan kami adalah integriti dan kebebasan SPRM.
"Tetapi, selagi wujud rangkaian antara SPRM, golongan elit perniagaan, dan golongan elit politik yang membolehkan tindakan memperalatkan SPRM diteruskan, maka kita masih perlu terus berjuang demi kebebasan SPRM.
"Ia sama seperti generasi terdahulu semasa Bersih bermula. Ia sebenarnya bukan tentang kepimpinan SPRM. Ia adalah tentang reformasi sistem pilihan raya supaya ia bebas, adil dan telus," katanya ketika ditanya tujuan himpunan tersebut sekiranya kontrak Azam tidak disambung.

Kontrak Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM kini menjadi perhatian apabila tempoh semasanya dilanjutkan setahun bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Azam sebelum ini sudah tiga kali dilantik semula untuk tempoh setahun berturut-turut, yang mengundang kritikan terhadap kerajaan Madani.
Susulan pendedahan terbaru berhubung pegangan saham serta kaitan dengan dakwaan korporat, beberapa pemimpin DAP dan ahli parlimen PKR menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat perkara tersebut.
