Cadangan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki agar kerajaan negeri mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan bab di Dewan Undangan Negeri Selangor, semalam menimbul polemik dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) melihatnya sebagai bertentangan dengan titah Sultan Selangor.
Ketika membahaskan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Adun DAP itu menggesa agar kerajaan negeri mempertimbangkan penggunaan sistem penternakan babi moden dan memaklumkan bahawa isu berkenaan menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, satu pertikaman lidah tercetus dalam persidangan DUN Selangor hari ini selepas wakil pembangkang cuba mengemukakan usul tergempar untuk mengheret Wong kepada prosiding disiplin.
Semalam, Dewan Pemuda PAS Selangor dan BN Selangor menuduh Adun Seri Kembangan itu sebagai biadab kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi.
Bagi Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar, Adun DAP itu wajar digantung daripada dewan undangan negeri selama 12 bulan, manakala Ketua Penerangan BN Selangor Jamal Yunos berkata Wong boleh keluar dari Selangor jika tidak mahu akur dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kata pengerusi Umno Sungai Besar itu, sebagai wakil rakyat yang telah mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Wong sepatutnya menjunjung tinggi titah baginda dan bukannya bertindak menyanggah Baginda.

Pada 10 Feb lalu Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan tempat penternakan babi.
Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, dia memaklumkan Sultan Sharafuddin berpendapat kegiatan penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara dan sumber air.
Di samping itu, kata Mohamad Munir, pihak istana berpendapat ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pihak istana juga berpendapat penternakan babi berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad, ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi.

Malaysiakini menyiarkan ucapan penuh Wong itu.
“Seri Kembangan menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku terhadap kesejahteraan rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama dan budaya, serta terhadap kelestarian alam sekitar.
Seri Kembangan bersetuju bahawa sebarang aktiviti industri atau penternakan tidak boleh dikompromi sekiranya menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Namun demikian, Seri Kembangan berpandangan bahawa Selangor sebagai negeri peneraju tidak seharusnya mengelak daripada cabaran. Sebaliknya, kita perlu mencari penyelesaian yang lebih moden dan mampan.

Mengenai isu penternakan babi dalam titah ucapan, Seri Kembangan memohon ampun Tuanku, menyembah bahawa isu ini juga menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan yang lain. Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti yang dihadapi oleh penternakan haiwan lain.
Namun begitu, amat dukacitanya, seperti yang dibangkitkan dalam titah ucapan Tuanku, isu penternakan babi telah dijadikan sebagai isu politik dan dimainkan oleh pelbagai pihak, termasuk bekas ahli politik di luar sana.
Sehubungan itu, Seri Kembangan memohon pertimbangan agar diberikan ruang kepada kerajaan dan para pelabur untuk meneroka sistem penternakan tertutup dan moden, termasuk konsep “zero discharge” melalui teknologi kitar semula sisa kepada biogas dan tenaga elektrik.
Sistem ini telah terbukti berjaya di negeri-negeri lain, dan Selangor tidak seharusnya ketinggalan.

Tambahan pula, kebergantungan sepenuhnya kepada import bagi sumber makanan adalah berisiko dalam jangka panjang.”
