mk-logo
Berita
Kes seleweng RM230 juta: PAS tuntut dedahkan audit dana zakat
Diterbitkan:  Apr 26, 2026 2:58 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Satu laporan tahunan terperinci serta pendedahan prestasi secara terbuka wajar dijadikan amalan bagi badan yang diamanahkan mengutip dan mengagihkan dana zakat, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Dia menegaskan zakat merupakan amanah suci yang diserahkan oleh para penyumbang kepada pihak berkuasa agama dan mesti diurus dengan integriti, ketelusan serta keadilan demi manfaat golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

Menurut ahli parlimen Kota Bharu itu, sebarang dakwaan penyelewengan, salah urus atau kelemahan tadbir urus — sama ada melibatkan agensi negeri, individu atau pihak ketiga — mesti ditangani segera, secara jujur, tanpa berat sebelah atau rasa takut.

“Kontroversi ini pada asasnya adalah isu tadbir urus dan integriti.

"Persoalan berhubung pengurusan dana zakat menuntut penjelasan yang meyakinkan serta akauntabiliti yang sewajarnya, termasuk di pihak kerajaan negeri,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

“Kedua, ia juga menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan struktur dan sistem yang berkait rapat dengan isu-isu tafsiran, kelulusan, pemantauan dan pengagihan dana zakat.

"Oleh sebab ia melibatkan dana awam, lebih-lebih lagi dana keagamaan yang besar jumlahnya, maka kawalan dalaman mestilah sentiasa kukuh dan tidak boleh dipertikai sama sekali,” katanya.

Dikait dengan Perlis

Takiyuddin mengulas kontroversi susulan penahanan dan reman tiga individu baru-baru ini, yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana zakat dari Perlis.

Individu berkenaan dilaporkan disyaki menyeleweng kira-kira RM230 juta dana sumbangan awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam serbuannya telah menyita 18 kenderaan mewah serta aset lain (gambar bawah).

“Sehubungan itu, PAS mendesak beberapa langkah ke hadapan diambil, termasuk siasatan menyeluruh dan bebas dijalankan segera dan semua pihak terbabit hendaklah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

"Proses tadbir urus, kelulusan serta aliran dana hendaklah diperincikan secara telus dalam batas proses perundangan sah yang sedang berjalan.

"Satu audit forensik juga perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan, menentukan tanggungjawab serta mengesyorkan langkah pembetulan yang tepat dan berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata berdasarkan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak, termasuk Pejabat Mufti Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, terdapat percanggahan dan kekeliruan berhubung bidang kuasa, autoriti undang-undang serta akauntabiliti institusi.

“Rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai peranan, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap agensi atau pihak berkuasa yang terlibat dalam pentadbiran zakat,” katanya.

Pada 22 April, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin berkata dia sudah bertemu dengan individu yang ditahan dan mengesahkan bahawa MAIPs telah mematuhi prosedur pengagihan zakat.

Ini termasuk memperuntukkan sebahagian dana kepada individu atau kumpulan yang membantu menghubungi penyumbang zakat, kata Asri.

Pada hari sama, NGO Pertubuhan Ikram Malaysia berjanji memberi kerjasama penuh kepada siasatan SPRM selepas tiga ahlinya ditahan.

Takiyuddin mengingatkan bahawa kepercayaan merupakan asas kepada sistem zakat.

“Jika keyakinan merosot atau runtuh, maka mangsa akhirnya ialah golongan miskin dan memerlukan yang bergantung pada bantuan yang cepat dan berkesan.

"Isu ini juga membawa implikasi lebih besar terhadap kredibiliti kepimpinan, proses dan tanggungjawab institusi yang mesti ditangani secara tegas dan profesional,” tegasnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini berkata kes berkenaan tidak melibatkan dana daripada mana-mana institusi zakat dalam negara.

Sebaliknya, dia berkata NGO tersebut menerima derma daripada pelbagai pihak dan sumber, termasuk komisen daripada kutipan tertentu bagi membantu golongan memerlukan.

Azam berkata SPRM sedang mengenal pasti aliran pemindahan wang berhubung kes penyelewengan dana bernilai RM230 juta melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, SPRM sedang mendapatkan maklumat berkenaan daripada institusi perbankan yang dijangka diperoleh dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

SPRM turut menyiasat pihak Pertubuhan Ikram selain tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan termasuk ahli keluarga yang mungkin mendapat manfaat daripada dana berkenaan.

“Mana-mana pihak yang namanya terlibat menerima wang berkenaan kita akan panggil untuk siasatan.

"Jadi, saya jangka apabila mendapat akaun bank yang menunjukkan banyak lagi pihak yang menerima (wang terbabit), kita akan panggil untuk mendapat penjelasan,” kata Azam pada 24 April lalu.

SPRM juga dilaporkan menyita aset tidak alih dianggarkan berjumlah RM18.36 juta melibatkan 14 hartanah merangkumi tujuh rumah kediaman bernilai RM15.53 juta termasuk sebuah banglo (RM10 juta), tiga ruang pejabat (RM1.53 juta) serta empat lot tanah (RM1.3 juta) di Kundang, Marang dan Temasya Glenmarie.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS