Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertikai speaker tak benar tanya soalan, Adun digantung 2 hari
Diterbitkan:  Apr 28, 2026 12:35 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang Muhammad Hilman Idham digantung daripada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) selama dua hari sehingga esok.

Ketua Pemuda Bersatu itu digantung setelah dia mempertikai tindakan speaker Lau Weng San, yang juga wakil rakyat DAP, yang tidak membenarkannya mengemukakan soalan tambahan.

“Saya amat kesal dengan sikap ala ‘diktator’ Speaker Dewan Negeri Selangor yang menghalang saya dan beberapa Ahli Dewan Negeri lain untuk bercakap demi kepentingan rakyat Selangor. 

“Soalan saya bukan soalan politik,” kata Hilman.

Terdahulu, Hilman bangun untuk bertanya soalan selepas ucapan exco kesihatan dan alam sekitar Jamaliah Jamaluddin.

Lau bagaimanapun tidak menghiraukannya.

“Takkan soalan tambahan pun tak boleh. Jadi dewan ini untuk apa tuan speaker,” katanya sambil terus mengkritik speaker.

Dia kemudian terus menutup mikrofon dan melangkah keluar dewan sebagai tanda proses. Lau kemudian mengarahkannya tidak hadir sidang selama dua hari sehingga esok.

Dalam kenyataan selepas itu, Hilman berkata dia hanya mahu bertanya soalan tentang sumber tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, isu itu penting dibahaskan tatkala Malaysia berhadapan krisis global dan mahu mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil. 

Sementara itu, dia menegaskan bahawa DUN Selangor adalah lambang keunggulan demokrasi negeri. 

Justeru, katanya, jika wakil rakyat sepertinya, yang diberikan mandat oleh rakyat, dihalang daripada berbahas, maka ia menjadi tanda “demokrasi mati”.

Afif dihalau semalam

Semalam, Adun Taman Medan Afif Bahardin turut dihalau dari dewan. Dia digantung selama tiga hari kerana selepas pertengkaran berkaitan usul merujuk Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Terdahulu Wong berkata, isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan bawah perlembagaan Persekutuan, dan  perlu dilayan sama seperti ternakan lain kerana ia membawa risiko pencemaran, kebersihan dan kesihatan yang serupa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS