Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Antonio Gramsci, pemikir politik Itali yang menulis Prison Notebooks ketika dipenjara oleh rejim fasis Mussolini, merakam satu pemerhatian yang sering muncul setiap kali susunan kuasa mula goyah.

Beliau menulis, “The crisis consists precisely in the fact that the old is dying and the new cannot be born; in this interregnum a great variety of morbid symptoms appear.” Gramsci menggunakan istilah interregnum untuk merujuk kepada sela peralihan antara dua susunan kuasa.

Apabila struktur lama kehilangan legitimasi, sementara struktur baru belum memiliki kekuatan untuk memerintah, lalu ruang tersebut dipenuhi oleh apa yang beliau istilahkan sebagai morbid symptoms, yakni gejala politik yang hidup melalui sentimen, ketakutan dan manipulasi persepsi.

Maka, ruang ini memunculkan pelbagai gejala politik yang ganjil dan bercelaru memandangkan kekosongan kuasa membuka ruang kepada ‘penunggangan’ politik yang bergantung pada sentimen, simbol dan kegelisahan kolektif.

Merenung kembali apa yang dinyatakannya itu, kerangka ini memberi laluan yang jelas untuk membaca keadaan Umno pasca PRU15. Keputusan pilihan raya tersebut mengubah struktur lama yang selama ini menyokong dominasi parti itu di kawasan Melayu.

Kehilangan kerusi, perubahan pola pengundi dan kemerosotan pengaruh menjadikan parti ‘tua’ Melayu ini berada dalam fasa yang menuntut pembinaan semula. Kebiasaanya, keadaan seperti ini memerlukan disiplin organisasi terutamanya apabila melibatkan kesediaan merenung kelemahan sendiri.

Taktik mudah dibaca

Namun jika melihat situasi semasa, kelihatannya ruang tersebut diisi dengan pendekatan yang lebih segera dan simplistik, iaitu pengukuhan retorik identiti sebagai alat mobilisasi. Mobilisasi ini pula rancak dimainkan oleh pemimpin sayap Pemuda parti yang kelihatannya agak terdesak untuk menonjolkan imej “Melayu” setelah kehilangan sebahagian besar kepercayaan pengundi Melayu dalam PRU15.

Dalam menjayakan projeksi itu, selaku Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menonjolkan kelantangannya dalam memberikan gambaran ketegasan dan keberanian, seolah-olah beliau berdiri sebagai suara tulen kepada keresahan akar umbi dan orang Melayu.

Namun, taktik ini mudah dibaca. Kedudukan ini berfungsi dalam susunan kuasa yang terancang. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan Umno dalam kerajaan bagi memastikan akses kepada kuasa terus tersedia.

Pada masa yang sama, Akmal mengurus kemarahan di bawah, memastikan penyokong tidak melihat kompromi tersebut sebagai kelemahan.

Dengan analogi mudah, satu tangan berjabat, satu tangan menuding dan dua wajah ditampilkan serentak. Bermakna, Akmal berfungsi sebagai topeng kepada wajah yang tidak mahu dilihat oleh penyokong. Akmal perlu menjaga hati orang Melayu melalui drama-drama yang ditampilkannya secara strategik.

Ashraf Hadi

Maka, episod Negeri Sembilan memperlihatkan dengan jelas drama Akmal dalam menghidupkan kembali sentimen penyatuan Melayu-Islam. Di satu sisi lain, ia juga secara tidak langsung menonjolkan kedangkalan Akmal terutamanya dalam memahami makna mandat yang sebenar.

Akmal seolah-olah tidak faham bahawa mandat rakyat tidak wajar dilihat sebagai ruang bebas untuk menyusun kuasa selepas keputusan pilihan raya dimuktamadkan.

Tanpa berdolak-dalik, ia perlu difahami sebagai amanah yang lahir daripada kehendak pengundi dan terikat pada susunan politik yang telah diputuskan melalui undi. Pendefinisiannya dari sudut pandang akademik juga begitu jelas.

John Locke dalam Second Treatise of Government menegaskan bahawa kuasa politik terbina atas persetujuan yang diberikan oleh rakyat. Pada masa yang sama, setiap bentuk pemerintahan hanya sah selagi ia berfungsi mengikut kepercayaan tersebut.

Dalam hal ‘mandat’ ini, Akmal kelihatannya cuba memposisikan tindakan ini sebagai usaha bermaruah, malah menegaskan bahawa Umno tidak “gila jawatan”. Namun dalam masa yang sama, beliau membuka kemungkinan pembentukan kerajaan melalui sokongan pihak lain.

Percanggahan ini sukar dipertahankan. Jika benar soal maruah, kestabilan yang lahir daripada mandat pilihan raya sepatutnya menjadi keutamaan. Agak sedikit mual apabila naratif maruah cuba ditunggang dalam menghalalkan tindakannya.

Dari satu sudut, hujah separa matang Akmal ini sememangnya berisiko membawa implikasi yang lebih signifikan, khususnya melalui kesan domino di negeri-negeri lain. Hari ini Negeri Sembilan menjadi sasaran, keesokannya negeri lain menjadi kemungkinan dan seterusnya membuka ruang kepada tekanan di peringkat pusat.

Rugikan semua pihak

Langkah Sheraton, misalnya telah menunjukkan bagaimana perubahan jajaran kuasa yang tidak berasaskan mandat baharu mewujudkan ketidaktentuan yang berpanjangan. Akibatnya, kita bukan sahaja berhadapan kelembapan ekonomi dan masalah kewangan, bahkan sektor kesihatan negara turut kritikal susulan daripada krisis mandat yang berlaku.

Oleh hal yang demikian, Akmal perlu menyedari bahawa kemampanan ekonomi rakyat wajar menjadi keutamaan, jauh mengatasi percaturan politik dangkalnya yang bakal merugikan semua pihak.

Apatah lagi, negara sedang berdepan tekanan global susulan ketegangan antara Iran dan Amerika di Selat Hormuz, yang membuka risiko gangguan terhadap bekalan tenaga dunia.

Kesan daripada situasi ini jelas memberi tekanan kepada harga minyak, meningkatkan kos logistik dan mendorong kenaikan harga barangan asas. Berbanding drama politik yang dibawa oleh Akmal, isu ini jauh lebih besar dan menuntut tumpuan yang serius kerana kesannya diterjemahkan secara langsung kepada kos sara hidup rakyat.

Perlu diingatkan bahawa pemimpin yang matang ialah pemimpin yang tahu menimbang waktu, mengenal saat yang menuntut politik dan saat yang menuntut ketenangan daripada politik. Herbert A. Simon, ahli ekonomi dan pemenang Hadiah Nobel yang terkenal dengan teori pembuatan keputusan, pernah mengingatkan bahawa “a wealth of information creates a poverty of attention.” 

Peringatan ini penting kerana kegagalan menapis keutamaan akan melemahkan pertimbangan politik, lalu mendorong keputusan yang tersasar daripada kepentingan sebenar rakyat.

Apabila berbicara tentang pembuatan keputusan, kerangka yang dihuraikan oleh Herbert A. Simon menjadi rujukan yang relevan untuk mengupas logik Akmal dengan lebih kritikal. Dalam hal ini, beliau kelihatan begitu beria-ria untuk menghidupkan semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), yang mungkin dianggap sebagai keputusan strategik bagi Umno untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu.

Namun, kecenderungan ini memperlihatkan kegagalan menapis keutamaan dengan cermat, seolah-olah fokus diberikan kepada percaturan politik jangka pendek tanpa mengambil kira implikasi struktur yang lebih besar. Keadaan seperti ini menimbulkan satu persoalan yang signifikan, apakah benar langkah tersebut memperkukuh kedudukan Umno, atau sekadar meletakkan parti itu kepada kedudukan parti sampingan?

Jika ditelusuri, PRU15 menunjukkan PN menguasai 74 kerusi Parlimen, manakala Umno hanya memperoleh 26 kerusi. Angka ini memperlihatkan bahawa PAS dan Bersatu menikmati lonjakan luar biasa, satu kemenangan yang memabukkan serta membentuk keyakinan bahawa mereka kini pemain utama dalam politik Melayu. Umno pula kini jauh daripada Umno yang dahulu.

Seperti yang diketahui umum, PAS dan Bersatu berkongsi pengundi Melayu yang sama dengan Umno. Maka, pertanyaannya mudah: kerusi manakah yang PAS sanggup lepaskan, kerusi manakah yang Bersatu bersedia korbankan dan berapa banyak ruang sebenar yang masih tinggal untuk Umno dalam jajaran politik ‘idaman’ ini?

Persoalan yang lebih utama, adakah kerjasama seperti ini mampu bertahan atau akhirnya akan mencetuskan semula adegan tikam-menikam seperti mimpi ngeri Umno sebelum ini?

Ini kerana sejarah kerjasama PAS dalam jajaran politik menunjukkan satu rekod yang maha buruk dan sukar dipertahankan secara rasional.

Kerjasama bersama DAP melalui Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) berakhir apabila perbezaan asas mencapai titik pecah. Jajaran ‘idaman’ melalui Muafakat Nasional (MN) bersama Umno juga tidak bertahan apabila PAS dikatakan mengkhianati Umno dengan beralih kepada PN untuk bersama Bersatu.

Corak ini memperlihatkan satu kecenderungan yang konsisten, iaitu kesediaan mengubah haluan apabila konfigurasi kuasa berubah. Jelas bahawa pendekatan “matlamat menghalalkan cara” yang sering dikaitkan dengan Niccolò Machiavelli seolah-olah menjadi garis panduan tidak rasmi parti itu dalam menentukan jajaran politik.

Pada akhirnya, adalah amat menarik untuk sama-sama kita perhatikan bahawa apakah akan ada fenomena pisang berbuah dua kali? Atau adakah cerita lama dengan pelakon yang sama akan kembali diulang tayang?

Peribahasa Melayu sudah lama mengingatkan, sekali kaki terkena tahi, sepatutnya langkah selepas itu lebih berhati-hati, namun jika jejak yang sama tetap diikuti, maka baunya akan terus melekat.

Maka Akmal perlu menjawab dengan jelas, adakah beliau benar-benar bersedia menggadaikan maruah partinya untuk merayu ruang daripada pihak yang pernah mereka gelar sebagai pengkhianat?

Inilah antara inti kepada narasi pembodohan yang dibawa Akmal. Jika itu arah yang terus dipilih, maka garisnya jelas, kami bersedia untuk berlawan dan berdepan dengan Umno tanpa gentar dan tanpa undur. Luas tapak tangan, nyiru kami tadahkan.


ASHRAF HADI ialah Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS