Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan bawa pulang 3 gajah wajar dipertimbangkan - Arthur

Gesaan pelbagai pihak untuk membawa pulang tiga gajah Malaysia yang kini berada di bawah jagaan Zoo Tennoji, Osaka, Jepun sejak 11 Mac lalu wajar dipertimbang secara serius, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup.

Katanya, walaupun kementerian itu tidak terlibat dalam perjanjian antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji, terdapat asas yang kukuh untuk membawa pulang ketiga-tiga gajah itu seperti gesaan kumpulan kebajikan haiwan.

"Sekiranya pelaksanaan perjanjian ini didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar serta sensitiviti semasa maka keperluan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah tersebut ke habitat asal perlu dipertimbangkan secara serius dan segera,” kata Arthur dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Turut hadir ialah pegawai kementerian daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), yang bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan.

Arthur sebelum itu bertemu aktivis sosial S Kalai Vanar berkenaan memorandum yang diserahkan kepada kementerian itu minggu lalu yang menggesa pihak berkuasa membawa pulang gajah-gajah tersebut, susulan petisyen dalam talian yang telah mengumpul lebih 100,000 tandatangan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Perhilitan telah menyelaraskan pemindahan seekor gajah jantan berusia 20 tahun bernama Kelat, seekor gajah betina berusia 14 tahun bernama Dara, dan seekor gajah betina berusia 9 tahun bernama Amoi sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia yang bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.

Mengulas lanjut, Arthur berkata kementerian memandang serius imej dan video tular di media sosial yang menunjukkan keadaan membimbangkan melibatkan gajah-gajah tersebut.

"Pada 13 April saya telah membangkitkan mengenai isu tersebut semasa sesi Kunjungan Hormat Duta Besar Jepun, Noriyuki Shikata.

"Pada 21 April mengadakan pertemuan melibatkan pengurusan tertinggi NRES dan Jabatan Perhilitan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping dan Pengurusan Zoo Taiping & Night Safari yang antara lain menerangkan mengenai Program Konservasi Gajah antara Zoo Taiping & Night Safari dan Tennoji Zoo Osaka,” katanya.

Arthur berkata kementerian itu telah mengemukakan beberapa cadangan tindakan susulan, namun setakat ini pihak terlibat belum menerima cadangan tersebut.

"Setelah meneliti memorandum yang dikemukakan, Kementerian secara prinsipnya berpandangan bahawa cadangan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah tersebut adalah wajar dipertimbangkan dengan serius, mengambil kira demi kepentingan awam dan sensitiviti semasa.

"Sehubungan itu, saya dengan ini menggesa secara tegas pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari untuk memulakan rundingan dengan pihak Tennoji Zoo, Osaka dan bagi menilai keperluan dan mekanisme untuk membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air memandangkan mereka adalah pihak yang mempunyai obligasi kontraktual,” katanya.

Namun, Arthur mengakui bahawa kementerian itu sebagai pihak luar dalam perjanjian antara dua entiti swasta berkenaan tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menamatkan perjanjian atau mengarahkan gajah tersebut dibawa pulang.

“Kami memahami bahawa sebarang alasan untuk menamatkan perjanjian adalah antara pengurusan Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kementerian bersedia menanggung kos membawa pulang gajah tersebut, Arthur berkata kos berkaitan akan ditanggung berdasarkan terma penamatan kontrak dalam perjanjian asal.

“Namun, atas dasar pemuliharaan dan kepentingan negara, kami bersedia mencari dana demi menyelamatkan gajah ini,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tiga ekor gajah tersebut sepatutnya ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh, yang menurutnya lebih sesuai dengan habitat semula jadi dan keperluan haiwan berkenaan.

Dia berkata pusat konservasi itu mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari aspek interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.

“Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Wan Rosdy berkata isu melibatkan ketiga-tiga mamalia berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia adalah sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara yang wajar dipelihara dengan sebaiknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS