mk-logo
Berita
Undang NS, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar sekali lagi bersidang

Kemelut yang melanda Negeri Sembilan terus mencuri perhatian apabila Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar sekali lagi mengadakan pertemuan, dipercayai bagi membincangkan perkembangan terkini krisis yang semakin meruncing.

Pertemuan tersebut berlangsung di Balai Undang Luak Sungei Ujong sekitar pukul 3.30 petang sebelum berakhir kira-kira pukul enam petang, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju seterusnya konflik berkenaan.

Tokoh-tokoh adat yang hadir termasuk empat Undang iaitu Datuk Klana Petra Mubarak Dohak (Sungei Ujong); Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Maarof Mat Rashad (Jelebu); Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah (Johol); serta Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau). Turut serta ialah Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri dan Baharudin Abdul Khalid.

Bagaimanapun, kenyataan ringkas daripada Undang Luak Johol dilihat belum cukup meredakan spekulasi.

"Bincang anak-beranak saja," kata Muhammad sebelum ini meninggalkan Balai Undang Luak Sungei Ujong, Seremban.

Di sebalik penjelasan tersebut, situasi sebenar di negeri itu menunjukkan krisis yang jauh lebih kompleks. Negeri Sembilan kini berdepan ketegangan melibatkan institusi adat dan pentadbiran kerajaan negeri, yang berkembang menjadi polemik perlembagaan dan undang-undang yang serius.

Krisis ini bermula daripada isu pelucutan jawatan adat, sebelum berkembang sehingga menggugat kedudukan kepimpinan negeri termasuk jawatan menteri besar.

Pada 17 April, Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Istana Besar Seri Menanti mengesyorkan agar Datuk Klana Petra Mubarak Dohak ditamatkan perkhidmatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong, dengan 33 alasan pelanggaran adat dikemukakan bagi menyokong tindakan tersebut.

Dua hari kemudian, pada 19 April, keadaan menjadi lebih tegang apabila empat individu bergelar Undang mengumumkan "pemecatan" Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar, serta cubaan menabalkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pengganti.

Namun, kesahihan tindakan itu segera dipersoalkan memandangkan pengumuman tersebut dibacakan oleh Mubarak yang ketika itu statusnya sebagai Undang juga dipertikaikan.

Pada 20 April, pihak Istana bersama DKU secara rasmi mengesahkan pemberhentian Mubarak. Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menegaskan cubaan menjatuhkan Tuanku Muhriz adalah tidak sah kerana dilakukan oleh individu yang tidak lagi mempunyai autoriti dalam institusi adat.

Krisis ini kemudiannya memasuki dimensi politik apabila tiga ahli DKU mempertikaikan kenyataan menteri besar berhubung pemecatan tersebut. Ketegangan memuncak apabila satu surat tuntutan dihantar oleh pihak Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang mendesak agar Aminuddin meletakkan jawatan.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan konflik yang pada awalnya berakar daripada isu adat kini telah meluas menjadi krisis pelbagai dimensi, melibatkan institusi tradisi, undang-undang dan pentadbiran negeri.

Dalam surat bertarikh 20 April, Undang Yang Empat bersama seorang lagi pembesar negeri, Tunku Besar Tampin, menuduh Aminuddin berbohong dalam kenyataan 17 April apabila mendakwa majlis itu sudah mengesahkan pemecatan Mubarak sebagai Undang.

Pemimpin berkenaan mendakwa ahli majlis yang hadir pada sidang tersebut tidak mencapai sebarang keputusan sepakat dan sebulat suara.

Bekas menteri besar, Rais Yatim, pula mendakwa Undang Johol, Jelebu dan Rembau serta Tunku Besar Tampin tidak bersetuju dengan penyingkiran Mubarak.

Sehubungan itu, Rais berpendapat pemecatan Mubarak tidak sah.

Setiausaha Sulit Undang Luak Sungai Ujong, Hanafi Ruzlan pada 24 April lalu mencabar Aminuddin mendedahkan minit mesyuarat yang berlangsung pada 17 April lalu, yang menurutnya menyaksikan keputusan sebulat suara dibuat untuk memecat Mubarak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS