Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.
Beliau berkata pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik tidak terkesan, manakala projek pembinaan sekolah termasuk penambahan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar juga diteruskan seperti dirancang.
"Pengambilan doktor, jururawat itu tak terjejas, pembinaan klinik tak terkesan, cuma skop hospital yang mewah itu kurangkanlah," kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di Putrajaya hari ini.
Selain itu, Anwar berkata walaupun perbelanjaan Kementerian Pendidikan itu dikurangkan tetapi pembinaan kelas-kelas baharu untuk kemasukan pelajar sekarang tidak terjejas.
Justeru, Anwar menemplak sikap pihak tertentu yang tanpa berasaskan fakta cepat melenting berkenaan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan itu.
Anwar menjelaskan penjimatan tertumpu kepada perbelanjaan yang dianggap berlebihan termasuk penganjuran kursus di luar negara, majlis di hotel mewah serta projek pembangunan yang melangkaui keperluan sebenar.
Beliau berkata kursus yang boleh dilaksanakan dalam negara akan diadakan secara tempatan, manakala majlis rasmi kini digalakkan diadakan di premis kementerian bagi mengurangkan kos.
"Majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian. Skop pembinaan yang melebihi keadaan biasa itu dikurangkan," katanya.
Pada 29 April lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa panduan telah dikeluarkan kepada kementerian dan agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.
Langkah itu adalah sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimumkan sumber kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.
- Bernama
