Kerajaan negeri digesa menangguhkan cadangan pindaan perlembagaan negeri bagi membolehkan pelantikan sehingga lima Adun tambahan, sambil menuntut proses libat urus yang lebih menyeluruh dan telus.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa berkata cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor itu dikemukakan tanpa proses perundingan yang mencukupi.
Menurutnya, cadangan memperkenalkan wakil yang tidak dipilih melalui pilihan raya tetapi mempunyai hak mengundi setara dengan Adun dipilih rakyat menimbulkan persoalan asas terhadap prinsip perwakilan demokratik.
“Sebarang perubahan kepada komposisi Dewan Negeri perlu dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban serta mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap keseimbangan kuasa dan integriti institusi legislatif.

“PKR Johor berpandangan bahawa pengenalan wakil yang tidak melalui proses pilihan raya, tetapi diberikan hak mengundi setara dengan Adun yang dipilih oleh rakyat, berpotensi menimbulkan persepsi ketidakseimbangan dalam mandat demokrasi,” katanya pada kenyataan hari ini.
Zaliha berkata perkara itu memerlukan penelitian lebih mendalam bagi memastikan ia tidak menjejaskan keabsahan institusi Dewan Negeri.
Dia turut membangkitkan kebimbangan terhadap ketiadaan garis panduan jelas berkaitan kelayakan, peranan dan kriteria pelantikan.
Katanya, tanpa kerangka merit yang telus sama ada berasaskan kepakaran, representasi komuniti atau keperluan dasar, cadangan itu boleh menimbulkan persepsi bahawa pelantikan dibuat tanpa asas objektif yang kukuh.

Sehubungan itu, Zaliha berkata PKR Johor menggesa kerajaan negeri menangguhkan cadangan pindaan tersebut dan melaksanakan proses libat urus inklusif melibatkan wakil rakyat, pakar perlembagaan, masyarakat sivil serta rakyat Johor.
“Sekiranya tujuan pelantikan adalah untuk memperkukuh fungsi Dewan Negeri, maka mekanisme yang lebih telus dan bebas perlu diwujudkan.
“Ini termasuk memastikan wakil yang dilantik benar-benar membawa nilai tambah melalui kepakaran tertentu atau mewakili segmen masyarakat yang tidak terwakili dalam proses politik semasa,” katanya.
Zaliha menegaskan kerajaan negeri perlu memastikan setiap langkah pembaharuan institusi dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, pengarah NGO pilihan raya demokratik Tindak, Danesh Prakash Chacko (gambar atas) berkata amalan sedemikian akan meningkatkan majoriti kerajaan secara buatan dan mewujudkan mekanisme “mementingkan diri sendiri” untuk parti pemerintah.
“Berdasarkan rang undang-undang yang dicadangkan, proses pelantikan memerlukan usul daripada tujuh Adun dan majoriti mudah dalam dewan, kuasa memilih anggota itu terletak sepenuhnya di tangan gabungan pemerintah semasa.
“Ini mewujudkan mekanisme yang mementingkan diri sendiri apabila gabungan pemerintah boleh memperuntukkan kerusi itu kepada pihak mereka sendiri.
“Ia juga tidak mungkin gabungan pemerintah akan berkongsi kerusi ini merentasi parti,” katanya.

Danesh berkata Adun lantikan juga tidak mempunyai akauntabiliti kerana mereka tidak bertanggungjawab kepada pengundi, manakala rakyat tidak mempunyai mekanisme demokratik untuk menyingkirkan mereka.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga gagal memberikan justifikasi yang jelas dan objektif terhadap cadangan pelantikan tersebut.
Ketua NGO itu turut membandingkan rancangan Johor dengan mekanisme sedia ada dalam perlembagaan negeri Terengganu, yang menurutnya mengaitkan kuasa melantik Adun tidak dipilih dengan “keperluan fungsi yang jelas”.
Katanya, Terengganu hanya boleh mempunyai Adun lantikan sekiranya pilihan raya gagal menghasilkan wakil wanita atau bukan Islam, sedangkan cadangan Johor tidak menetapkan syarat sedemikian.
“Tanpa sempadan yang ditetapkan ini, dewan negeri secara efektif diberi kuasa menambah anggota sesuka hati, tanpa mengira sama ada dewan itu sudah mencerminkan kepelbagaian negeri,” tegas Danesh.
Menurut laporan media, kerajaan negeri Johor merancang membentangkan usul meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan pelantikan sehingga lima lagi Adun.
Dewan negeri ketika ini mempunyai keseluruhan 56 kerusi.
Cadangan itu sejak itu menerima kritikan daripada parti pembangkang serta sekutu BN dalam kerajaan perpaduan persekutuan termasuk DAP dan PKR.
