Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno NS sokong k’jaan negeri tapi hilang kepercayaan terhadap MB
Diterbitkan:  May 6, 2026 4:23 PM
Dikemaskini: 9:31 AM
2

Umno Negeri Sembilan menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan, namun pada masa sama mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata, ketetapan untuk mengekalkan kerjasama itu dibuat demi menjamin kesejahteraan dan keutamaan kepada rakyat di negeri berkenaan.

"Umno Negeri Sembilan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk kita mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan seperti mana yang diputuskan di dalam Biro Politik Umno Malaysia dan Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan.

“(Namun) kami kekal hilang kepercayaan kepada menteri besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan UndangUndang Tubuh Negeri Sembilan ," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mustapha turut memaklumkan bahawa semua Adun Umno daripada BN akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa dengan memberi tumpuan kepada khidmat bakti dan kebajikan rakyat.

Meskipun menyatakan pendirian tegas Umno di peringkat negeri yang kini sudah tidak lagi menaruh kepercayaan kepada kepimpinan Aminuddin selaku menteri besar, Mustapha berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di negeri itu dapat diselesaikan secara harmoni mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tatacara adat yang sebenar.

Dia turut menyeru rakyat agar menghormati proses yang sedang berlaku dan tidak mengeluarkan sebarang komen provokatif yang boleh menghina institusi adat.

Petang semalam, pimpinan PH dan Umno mencapai persetujuan untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, susulan perkembangan politik di negeri itu.

Menurut kenyataan bersama, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan antara kedua-dua gabungan yang dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Mei.

"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan Umno-Pakatan Harapan," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Kerajaan Negeri Sembilan tidak lagi minoriti - MB

Sementara itu, bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri, di Seremban, hari ini, Aminuddin berkata tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan susulan keputusan majlis perundingan pimpinan Umno dan PH semalam.

Katanya, berikutan itu kedudukan kerajaan negeri ketika ini kembali kepada asal iaitu sebelum krisis politik yang berlaku.

Aminuddin Harun

"Tiada lagi status kerajaan minoriti apabila kepemimpinan tertinggi Umno dan PH membuat keputusan untuk mengekalkan kesepakatan dan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan.

"Cuma hanya hari kejadian itu saja, ketika itu pun tiada keputusan kerana mereka (pemimpin pembangkang) pun belum jelas, jadi, perkataan itu (minoriti) tidak sesuai digunakan lagi berdasarkan keputusan biro politik semalam.

"Tambahan pula sekarang dua pemimpin pembangkang (Bersatu) telah menyatakan untuk tidak lagi menyokong langkah (14 Adun Umno yang menarik sokongan. Tumpuan saya sekarang hanya buat kerja," katanya.

Kerajaan Negeri Sembilan kekal ditadbir Aminuddin

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil hari ini berkata Kerajaan Perpaduan kekal mentadbir Negeri Sembilan dipimpin oleh Aminuddin.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, dipetik oleh Bernama sebagai berkata isu melibatkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan telah berjaya diurus serta diselesaikan dengan baik selepas pertemuan pimpinan tertinggi BN dan PH semalam.

Fahmi Fadzil

“Sebarang isu yang berbangkit selepas ini akan dirujuk kepada pimpinan utama berlandaskan perjanjian yang telah dimeterai antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri di Kuala Lumpur.

Pada 27 April lalu, 14 Adun Umno BN mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Melaka, Johor mahupun Negeri Sembilan, Fahmi berkata tiada sebarang perbincangan berhubung mengenai isu berkenaan.

Ketua Penerangan PKR itu berkata spekulasi mengenai perkara tersebut adalah tidak benar.

Semalam, media melaporkan DAP mengarahkan seluruh jentera parti bersiap siaga menghadapi kemungkinan PRN mengejut sekiranya Dewan Undangan Negeri di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dibubarkan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat parti yang turut membincangkan perkembangan kemelut politik di Negeri Sembilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS