Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Analisis PKR untuk muhasabah diri' - Izzah kecam pihak bocor dokumen
Diterbitkan:  May 6, 2026 9:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Analisis strategik PKR yang menunjukkan penurunan sokongan terhadap parti itu di kawasan-kawasan utama lahir daripada semangat muhasabah diri, kata Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Katanya ia juga menekankan keperluan untuk merapatkan saf, memperkukuh jentera, dan menumpukan semua gerak kerja dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Ini supaya janganlah mana-mana parti politik kekal syok sendiri,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Nurul mengecam pihak yang membocorkan dokumen tersebut, yang menurutnya lebih berminat menjadi “sumber khianat demi berita sensasi” daripada menjaga adab berorganisasi.

Anak perempuan perdana menteri itu juga meminta pembaca agar lebih bijak membezakan antara “whistleblower murni” dan “whistleblower khianat”.

“Malangnya, ada pihak berkemungkinan bertujuan mensabotaj usaha untuk memperbaiki serta memurnikan gerak kerja bersama. Wallahualam,” tambahnya.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata versi awal laporan Malaysiakini, yang menamakannya sebagai individu yang membentangkan laporan pada 2 Mei, adalah “fitnah semata-mata”.

Dia turut menggesa Malaysiakini membetulkan laporan itu dan memadam rujukan terhadap dirinya.

Untuk rekod, Malaysiakini telah menghubungi Nurul Izzah pada petang Ahad bagi mengesahkan dakwaan mengenai laporan dan penemuan tersebut, namun tidak menerima sebarang maklum balas sehingga laporan itu diterbitkan pada pagi Selasa.

Selepas diterbitkan, Malaysiakini telah membuang namanya daripada artikel tersebut sementara menunggu pengesahan lanjut, selepas menerima maklumat bahawa seorang lagi pemimpin kanan PKR telah membentangkan laporan itu.

Berada dalam keadaan defensif

Laporan bertajuk "Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier menunjukkan PKR berada dalam keadaan defensif, dengan pegangan terhadap kerusi-kerusi utama semakin terhakis.

Analisis ini membahagikan 66 kerusi tersebut dengan tujuh kerusi diletakkan dalam Tier 1 (kuat/selamat), 13 kerusi di Tier 2A (hampir kuat), 17 kerusi di Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 kerusi sebagai Tier 3 (sukar/recovery).

Pembahagian ini menunjukkan bahawa sebahagian besar kerusi yang dikaji, iaitu sebanyak 46 kerusi (Tier 2B dan Tier 3), berada dalam zon berisiko tinggi atau memerlukan pemulihan imej yang serius.

Antara kerusi yang dianggap memerlukan intervensi termasuk kerusi Tambun (Tahap 2B) yang disandang oleh presiden parti Anwar Ibrahim, kerusi Gombak milik naib presiden Amirudin Shari (Tahap 3), serta kerusi Sungai Buloh milik naib presiden R Ramanan (Tahap 3).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS