mk-logo
Berita
Syarikat sawit roboh rumah Orang Asli di tanah k'jaan Pahang

Kira-kira 20 Orang Asli suku Jakun kehilangan tempat tinggal selepas enam rumah mereka dirobohkan sebuah syarikat perladangan di Pekan, Pahang, Isnin lalu.

Menurut Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP), sekumpulan individu yang diiringi polis tiba di perkampungan kecil dikenali sebagai Kampung Sungai Baru sebelum mula merobohkan rumah penduduk.

Tindakan itu didakwa bagi menguatkuasakan hak syarikat terhadap tanah berkenaan yang dipajak daripada sebuah syarikat milik kerajaan negeri selama 30 tahun untuk projek ladang kelapa sawit.

Aktivis Orang Asli, Jaidi Musa berkata kejadian itu mengejutkan penduduk kampung kerana didakwa dilakukan tanpa sebarang notis atau rundingan terlebih dahulu.

Bendahari JKOAP itu mendakwa kawasan berkenaan merupakan sebahagian tanah adat Orang Asli yang didiami lima keluarga sejak beberapa generasi.

“Isu di sini ialah kenapa perobohan dilakukan tanpa sebarang notis awal dan perbincangan dengan komuniti?

“Sepatutnya tindakan seperti itu tidak dibuat tanpa bertemu penduduk kampung terlebih dahulu.

“Macam mana boleh terus roboh rumah orang ketika mereka tiada di rumah?” katanya kepada Malaysiakini.

Susulan kejadian itu, dua penduduk kampung membuat laporan polis bagi membantah perobohan berkenaan dan mengadu kerugian yang dialami.

Salah seorang mangsa berusia 58 tahun berkata dia hanya mengetahui rumahnya dirobohkan selepas pulang ke kampung pada petang Isnin.

Mangsa berkata dia tidak berpuas hati kerana banyak barangan milik keluarganya termasuk dapur memasak, pinggan mangkuk dan buku sekolah rosak dalam kejadian itu.

‘Orang Asli pindah masuk ketika pandemik’

Menurut video dikongsi Jaidi kepada Malaysiakini, kumpulan lelaki yang menjalankan perobohan itu datang ke kampung berkenaan menggunakan beberapa kenderaan pacuan empat roda.

Sebuah Toyota Hilux dengan tulisan “Polis Paloh Hinai” turut kelihatan di lokasi.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Pekan Zaidi Mat Zin berkata polis hanya berada di situ bagi memantau proses perobohan.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dimaklumkan mengenai rancangan syarikat tersebut dan menghantar anggota bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, Zaidi menafikan dakwaan komuniti Orang Asli itu telah lama menetap di kawasan tersebut.

“Tanah itu milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) yang memajakkannya kepada (nama syarikat lain).

“Orang Asli baru berada di situ. Mereka mengambil kesempatan ketika perintah kawalan pergerakan (Covid-19) untuk berpindah ke situ kerana ketika itu syarikat tiada di kawasan tersebut,” katanya.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama syarikat perladangan terbabit sementara menunggu maklum balas mereka.

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghubungi syarikat itu termasuk mengunjungi alamat yang digunakan ketika pendaftaran namun gagal.

PSK ‘hairan’ tindakan syarikat

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSK Sharuddin Jali berkata pihaknya akan memanggil syarikat perladangan terbabit bagi mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, tanah tersebut dipajakkan kepada syarikat itu tahun lalu dan operasi perobohan Isnin lalu dilakukan tanpa penglibatan PSK.

“Kebiasaannya apabila PSK mengendalikan perkara seperti ini, kita akan libatkan (pihak berkuasa) untuk penguatkuasaan secara bersama.

"Ada proses termasuk berbincang dengan penduduk kampung terlebih dahulu, bukan terus buat penguatkuasaan.

“Namun, kali ini syarikat kata mereka mahu buat sendiri. Jadi apabila mereka mahu urus sendiri, kami tidak terlibat.

“Saya juga hairan dengan pendekatan mereka. Jadi kami akan panggil mereka untuk beri penjelasan,” katanya.

Ketika ditanya jika PSK akan berunding dengan komuniti Orang Asli yang terjejas, Sharuddin berkata pihaknya akan membuat keputusan selepas perbincangan tersebut.

Malaysiakini turut menghubungi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk mendapatkan komen.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS