Spekulasi hangat kembali melanda kepimpinan PKR apabila dua nama besar parti itu, Naib Presiden R Ramanan dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh, dikatakan mula menunjukkan minat untuk bertanding di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut sumber parti yang rapat dengan perkembangan itu, Ramanan yang kini merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh dan juga Menteri Sumber Manusia dilihat berpotensi untuk berpindah ke Parlimen Batu di Kuala Lumpur.
“Spekulasi awal menunjukkan Ramanan berminat ke Batu. Dia dilihat mahu kerusi yang mempunyai demografi lebih campuran.
“Bagaimanapun, belum ada apa-apa yang dimuktamadkan lagi,” kata sumber dari pucuk pimpinan kepada Malaysiakini.
Dalam masa yang sama, situasi menjadi lebih menarik apabila satu lagi sumber mengesahkan bahawa Fuziah juga dikatakan berminat untuk bertanding di Batu.
“Fuziah tidak mahu kekal sebagai Senator sahaja. Parlimen Batu adalah kawasan yang strategik untuk beliau kembali ke Dewan Rakyat,” kata sumber kedua daripada pucuk pimpinan.
Fuziah sebelum ini tewas di Parlimen Kuantan pada PRU15 kepada calon Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor, dengan majoriti 2,866 undi.
Kekalahan itu menamatkan tempoh tiga penggal dia di kawasan tersebut sebelum dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dan kemudiannya memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Ramanan pula memulakan karier politiknya dalam MIC sebelum menyertai PKR menjelang PRU15, apabila dia menggantikan penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa, sebagai calon parti itu.
Dia turut memenangi jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti sebelum dilantik sebagai Menteri dalam rombakan Kabinet pada Disember 2025.
Malaysiakini telah menghubungi Ramanan dan Fuziah untuk mendapatkan komen.

Untuk rekod, laporan analisis strategik PRU16 oleh Malaysiakini yang menilai fokus PKR ke atas 66 kerusi Parlimen menunjukkan bahawa Sungai Buloh dan Kuantan berada dalam Tier 3, manakala Parlimen Batu diletakkan dalam Tier 1.
Dalam istilah pilihan raya, Tier 3 merujuk kepada kerusi yang memerlukan intervensi khas, manakala Tier 1 dianggap sebagai kerusi paling selamat atau kuat.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi, berkata proses membawa masuk calon “payung terjun” ke Parlimen Batu bukan semudah yang disangka.
“Saya tahu ada beberapa pimpinan tinggi mahu mencari kerusi Batu.

“Wakil kepada YB Fuziah ada menghubungi anggota cabang saya dan menyatakan hasrat tersebut. Pada masa sama, saya juga dimaklumkan oleh beberapa pemimpin pusat bahawa YB Ramanan mungkin akan dicalonkan di Batu.
“Namun, saya belum menerima apa-apa panggilan secara terus daripada mereka,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Asheeq yang juga Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan menegaskan pendirian peribadinya bahawa Parlimen Batu memerlukan calon tempatan.
"Bagi saya, tindakan pemimpin tinggi hijrah ke kerusi selamat tak adil kepada anggota cabang atau ahli parlimen sedia ada di kerusi parlimen yang dikategori sebagai selamat.
"Namun, saya tetap menghormati keputusan pucuk pimpinan,” katanya.
Sementara itu, penyandang Parlimen Batu, P Prabakaran, berkata ketika ini bukan masa sesuai untuk membincangkan soal calon.

“Sekarang bukan masanya untuk membincangkan isu calon.
“Fokus utama saya sebagai penyandang adalah untuk memenuhi amanat rakyat dan menunaikan janji reformasi yang telah kita rintis.
“Itulah tanggungjawab yang saya utamakan di Parlimen Batu ketika ini,” katanya secara ringkas.
Parlimen Batu yang merangkumi kawasan seperti Jalan Ipoh, Sentul dan Jinjang dikenali sebagai kerusi campuran dengan majoriti pengundi bukan Melayu yang besar. Kawasan ini sering menjadi medan ujian kekuatan parti yang melaungkan Reformasi itu.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa dalam kalangan akar umbi PKR Batu terdapat cadangan untuk mencalonkan Nurul Izzah Anwar sebagai calon di kerusi tersebut pada PRU16, sebagai salah satu usul sokongan daripada perwakilan.
