Setiap isu melibatkan kuil, tokong dan rumah ibadat selepas ini akan ditangani mengikut proses yang dipersetujui kabinet minggu lalu, maklum Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Keputusan jemaah menteri itu, jelas Gobind menetapkan penyelesaian isu berkaitan rumah ibadat memerlukan kerjasama tiga pihak berkuasa iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, masing-masing mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri. Pendaftaran kuil melibatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berada di bawah kerajaan persekutuan.
"Sementara itu, aspek pembinaan pula adalah dalam bidang kuasa kerajaan tempatan," katanya.

"Proses yang ditetapkan itu melibatkan beberapa pihak dan bukannya keputusan unilateral mana-mana agensi.
"Kita perlu lihat bagaimana kita dapat pastikan bahawa ada kerjasama di antara semua pihak, supaya kita dapat selesaikan masalah ini dan bergerak ke depan," jelasnya lagi.
Gobind yang juga pengerusi kebangsaan DAP berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Ibu di Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur hari ini.
Isu rumah ibadat tidak berdaftar terus menjadi antara cabaran berpanjangan dalam komuniti Hindu di Malaysia, terutama di kawasan bandar pesat membangun seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor

Exco Pembasmian Kemiskinan dan Sumber Manusia Negeri, V Papparaidu pada 16 April 2026 dilaporkan berkata kerajaan Selangor mengenal pasti 973 kuil Hindu di negeri itu dengan hanya 285 mempunyai status berdaftar atau diwartakan, manakala 688 lagi didapati beroperasi tanpa kebenaran.
Daripada jumlah itu, 433 dibina di atas tanah kerajaan dan 255 lagi di atas tanah persendirian.
Dilaporkan cabaran utama proses pewartaan rumah ibadat antaranya melibatkan isu status tanah, zon guna tanah dan keperluan teknikal yang perlu dipenuhi mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 serta penilaian jabatan teknikal berkaitan.
Sebahagian besar kuil terbabit juga didakwa sudah wujud sejak puluhan tahun lalu di atas tanah swasta atau tanah kerajaan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Gobind berkata di Selangor, mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) telah memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan isu berkaitan rumah ibadat.
"Banyak perkara telah pun kita selesaikan melalui Limas. Memang ada banyak lagi yang perlu diselesaikan, dan kita akan berusaha," katanya.
Sebelum ini, Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Jawatankuasa Pemandu Kuil Hindu Kebangsaan (NHTSC) menggesa moratorium terhadap tindakan pengusiran kuil selain menuntut komitmen lebih jelas daripada kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Beberapa pemimpin masyarakat dan ahli politik turut berpandangan bahawa perbincangan semata-mata tanpa penyelesaian konkrit tidak lagi memadai dalam menangani pertikaian berkaitan rumah ibadat.

Isu rumah ibadat tanpa kelulusan kembali menjadi perhatian selepas insiden perobohan sebuah struktur kuil di Rawang awal tahun ini yang dikepalai aktivis Tamim Dahri Abdul Razak.
Kes itu mencetuskan polemik apabila terdapat pihak mempertahankan tindakan berkenaan atas alasan hak pemilikan tanah persendirian manakala kumpulan masyarakat Hindu pula menganggapnya sebagai tindakan provokatif yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
Insiden tersebut turut mencetuskan semula perdebatan lama mengenai status rumah ibadat tidak berdaftar, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan serta keperluan mekanisme penyelesaian yang lebih jelas dan tersusun.
