Ahli Parlimen Rompin Abdul Khalib Abdullah menegaskan dia tidak bercadang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin Bersatu selepas digantung dua penggal daripada parti itu.
Menurutnya, tiada keperluan untuk dia berbuat demikian kerana Bersatu disifatkan semakin hilang arah serta tidak lagi bergerak berdasarkan prinsip asal penubuhannya.
"Baru ni dah buat rayuan, itu yang kena gantung... jadi taklah (buat rayuan lagi)," katanya.
Abdul Khalib sebelum ini merupakan ketua Bersatu Pahang sebelum khidmatnya ditamatkan pada 7 April lalu.

Jawatan itu kini disandang Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus (gambar atas) yang dilantik pada 30 April.
Dia berkata keputusan penggantungan tersebut tidak mengejutkannya kerana perkembangan itu sudah dijangka lebih awal.
"Saya melihat terdapat kumpulan tertentu cuba menguasai parti dan hanya memberi gambaran positif kepada Presiden parti.
“Dan saya dilihat lebih condong kepada bekas Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin kerana (saya) yakin dengan perjuangannya," tambahnya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan menyertai inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan Umno, Abdul Khalib menegaskan dia tidak berminat untuk kembali menyertai bekas partinya itu.
"Kalau soal penyatuan Melayu, saya boleh terima, saya pun pernah berada dalam Umno, tapi sekarang saya nampak mereka (Umno) dah selesa dengan Pakatan Harapan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Khalib turut mengingatkan kepimpinan Bersatu mengenai kebangkitan semula pemimpin yang digantung atau dipecat daripada parti berkenaan menerusi gerakan politik masing-masing.
"Saya akan teruskan kerjasama dengan wakil rakyat Perikatan Nasional Pahang seperti biasa, hubungan kami tidak terjejas dengan perkembangan terbaharu ini," jelasnya.
