Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kaum, agama: Tegas macam manapun mesti hormat, santun - PM
Diterbitkan:  May 10, 2026 7:35 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan perlu melaksanakan tugas secara tegas tetapi tetap menghormati sensitiviti kaum, agama dan budaya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Berucap pada program bersama mahasiswa India di Universiti Malaya hari ini, Anwar menegaskan sebarang tindakan yang menjejaskan hubungan antara kaum tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh meruntuhkan asas negara.

“Jika anda membuat keputusan semata-mata berdasarkan sentimen perkauman, orang Melayu mesti diingatkan bahawa walaupun mereka adalah majoriti, mereka harus sentiasa menghargai hakikat bahawa setiap warganegara mempunyai hak masing-masing.

"Orang Cina dan India juga boleh menyuarakan tuntutan mereka tetapi mereka juga mesti ingat bahawa negara ini tidak boleh membenarkan reaksi perkauman yang melampau sehingga merosakkan asas masyarakat negara ini," katanya seperti dipetik Berita Harian ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia R Ramanan.

Anwar turut mengakui beberapa kenyataannya sebelum ini berkaitan isu yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum telah “disalah tafsir”, sambil menegaskan dia tidak pernah berniat mencetuskan perpecahan atau permusuhan terhadap mana-mana komuniti.

“(Ada) kebencian terhadap perdana menteri kerana dia digambarkan mesra dengan orang Cina, atau tidak cukup tegas tentang kuil (Hindu).

"Tidak tegas terhadap orang Cina tentang penternakan babi,” lapor Malay Mail memetik kenyataannya.

“Tegas bagaimana sekali pun, kita mesti santuni budaya, fahaman dan agama orang lain, namun kita mematuhi peraturan.

"Bagaimanapun, janganlah sehingga menanam perasaan (benci) dan melukakan perasaan orang-orang yang mahu menjalankan mematuhi kepercayaan masing-masing. Hal ini sukar, termasuk yang terpaksa saya hadapi," kata Anwar lagi.

Tindakan roboh sendiri

Walaupun tidak jelas kenyataan mana yang dirujuknya, Anwar pada Februari lalu pernah mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri berkaitan kuil tanpa kebenaran.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas dia berkata telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk “membersihkan” kuil yang dibina tanpa kebenaran.

Salah sebuah kuil tanpa kebenaran di Rawang kemudian dirobohkan sekumpulan individu, dengan seorang peguam mendakwa mereka bertindak selaras dengan arahan “pembersihan” yang disebut Anwar.

Peguam Ambiga Sreenevasan dan N Surendran turut menggesa Anwar menarik balik kenyataannya itu dengan alasan arahan berkenaan belum pernah berlaku sebelum ini dan boleh membawa implikasi serius.

Terdahulu hari ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo memberi jaminan bahawa isu melibatkan kuil atau rumah ibadat kini akan diuruskan mengikut proses yang diputuskan mesyuarat kabinet minggu lalu.

Pengerusi DAP itu berkata jemaah menteri memutuskan isu sedemikian memerlukan kerjasama tiga peringkat kerajaan — persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan — mengikut bidang kuasa masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS