ULASAN | Titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semasa istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 bukan hanya ucapan rasmi yang datang dan pergi.
Ia merupakan satu teguran terbuka, jujur dan sangat jelas kepada ahli politik, pentadbir, agensi kerajaan malah seluruh rakyat Malaysia.
Dalam suasana politik negara yang semakin panas dengan budaya menyerang, memainkan sentimen agama, kaum dan institusi diraja, titah tersebut hadir seperti loceng amaran bahawa Malaysia sedang berada di satu persimpangan yang sangat berbahaya jika masyarakat terus memilih emosi berbanding rasional.
Apa yang dititahkan oleh Tengku Mahkota Pahang sebenarnya sangat mudah difahami. Jangan jadikan agama sebagai senjata. Jangan jadikan kaum sebagai alat politik. Jangan jadikan institusi diraja sebagai bahan permainan persepsi.
Paling penting, jangan sesekali menggadaikan keamanan negara demi keuntungan politik sementara.
Hari ini, ramai orang terlalu mudah marah di media sosial. Sedikit isu berkaitan rumah ibadat, terus keluar kata-kata kebencian.
Sedikit isu kaum, terus muncul penghinaan. Sedikit isu politik, terus hilang akhlak. Seolah-olah masyarakat sedang hidup dalam budaya “siapa paling kuat bersuara, dia paling benar”.
Hakikatnya, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, keharmonian bukan sesuatu yang datang secara automatik. Ia dibina dengan kesabaran, toleransi dan rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain.

Justeru, titah Tengku Hassanal sangat besar maknanya apabila baginda menegaskan bahawa isu 3R perlu dihentikan. Ini bukan soal menyekat kebebasan bersuara. Ini soal menyelamatkan negara daripada kebencian yang boleh membarah menjadi permusuhan.
Realitinya, ramai ahli politik hari ini terlalu gemar bermain api sentimen. Mereka tahu isu agama dan kaum mudah menaikkan emosi rakyat.
Mereka tahu rakyat akan cepat berkongsi video marah, ceramah keras dan kenyataan provokatif. Maka, sebahagian memilih jalan mudah iaitu membina populariti melalui kemarahan rakyat.
Namun masalahnya, apabila api kebencian mula membesar, ia tidak memilih mangsa. Hari ini mungkin menyerang lawan politik, esok boleh membakar seluruh negara. Sebab itu teguran Tengku Mahkota Pahang kepada semua pihak menjelang PRU sangat signifikan.
Baginda mahu politik Malaysia matang. Bukan politik maki hamun. Bukan politik fitnah. Bukan politik adu domba.
Malaysia sudah terlalu penat dengan politik yang hanya tahu menjatuhkan orang lain tanpa membawa penyelesaian. Rakyat hari ini sebenarnya tidak perlukan lagi hero politik media sosial yang pandai bercakap tetapi gagal bekerja.
Sebaliknya, rakyat mahu wakil rakyat yang turun padang dan menyelesaikan isu harian masyarakat.
Kepimpinan bukan tentang glamor
Sebab itu apabila Tengku Hassanal bertitah: “Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka…” ia sebenarnya satu tamparan yang sangat kuat kepada budaya politik bermusim di negara ini.
Ada wakil rakyat yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya. Pada waktu itulah jalan diturap, program rakyat dibuat dan tiba-tiba semua menjadi prihatin. Sedangkan rakyat memerhati semuanya.
Baginda juga memberi peringatan bahawa wakil rakyat bukan hanya individu yang pandai bercakap di pentas ceramah atau menjadi jaguh di TikTok dan Facebook. Sebaliknya, mereka dipilih untuk bekerja, mendesak agensi kerajaan dan memastikan masalah rakyat diselesaikan dengan cepat.
Ini sangat penting kerana hari ini ramai rakyat sudah mula muak dengan budaya “passing problem”. Semua isu mahu ditularkan dahulu sebelum bertindak, dan semua perkara mahu menunggu arahan pihak atasan hingga akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.
Titah Tengku Hassanal membawa mesej bahawa kepimpinan bukan tentang glamor, tetapi tentang tanggungjawab.
Lebih menarik, baginda tidak hanya bercakap soal politik dan perpaduan, tetapi turut menyentuh pembangunan ekonomi dan pelancongan negeri. Ini menunjukkan seorang pemimpin tidak boleh hanya fokus kepada polemik politik semata-mata, sebaliknya mesti melihat masa depan rakyat secara menyeluruh.
Apabila baginda menegur tentang keadaan Cherating yang seakan-akan dilupakan, ia menunjukkan pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk bercakap benar walaupun terhadap kelemahan sendiri. Inilah ciri kepimpinan yang rakyat mahu lihat. Bukan hanya tahu memuji diri sendiri, tetapi berani mengakui kelemahan dan menggerakkan solusi.

Malaysia sebenarnya memiliki terlalu banyak tempat indah, budaya hebat dan potensi besar. Namun, terkadang negara menjadi perlahan bukan kerana tiada kemampuan, tetapi kerana terlalu sibuk berpolitik tanpa henti.
Sebab itu, titah ini juga membawa satu mesej besar kepada Malaysia agar berhenti menjadi masyarakat yang hanya tahu marah, menghukum dan menyebarkan kebencian. Kita tidak boleh membina negara dengan budaya saling membenci.
Media sosial hari ini sangat berbahaya jika digunakan tanpa hikmah. Satu video pendek boleh mencetuskan pergaduhan kaum. Satu kenyataan boleh membakar kemarahan agama. Satu fitnah boleh meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara.
Undang-undang perlu dijunjung
Sedangkan Islam sendiri mengajar konsep tabayun, keadilan dan menjaga keamanan masyarakat. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah…” (Surah al-Hujurat: 6)
Ayat ini sangat relevan dengan situasi negara hari ini. Ramai terlalu cepat percaya, terlalu cepat marah dan terlalu cepat menghukum. Akhirnya, masyarakat menjadi penat, emosional dan hilang rasa percaya antara satu sama lain.
Apa yang dititahkan oleh Tengku Hassanal sebenarnya ialah seruan supaya Malaysia kembali menjadi negara yang waras. Politik perlu matang. Rakyat perlu bijak. Media sosial perlu berakhlak. Institusi perlu dihormati. Dan undang-undang perlu dijunjung.
Jika semua pihak terus bermain dengan api 3R (kaum, agama, raja-raja), negara bukan sahaja kehilangan keamanan, tetapi juga kehilangan masa depan.
Teguran baginda bukan untuk satu parti politik sahaja, dan bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk semua. Kerana apabila negara rosak akibat kebencian, tiada siapa akan benar-benar menang. Yang tinggal hanyalah generasi muda yang mewarisi perpecahan, kemarahan dan ketidakpercayaan.
Sebab itu, titah Tengku Mahkota Pahang wajar direnungi sedalam-dalamnya oleh seluruh rakyat Malaysia.
Kadang-kadang negara tidak hancur kerana kekurangan pembangunan. Tetapi negara boleh runtuh apabila rakyat hilang adab, politik hilang integriti dan masyarakat hilang rasa hormat antara satu sama lain.
Dan barangkali, itulah sebenarnya kebimbangan terbesar yang sedang cuba diingatkan oleh Tengku Hassanal kepada seluruh rakyat hari ini.
ATRIZA UMAR ialah salon ijazah kedoktoran (kepimpinan wanita) di Open University Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
